Hilang rasa takut terima vaksin Covid-19
SEREMBAN - Kehadiran dua maskot produk Kellogg pada Program Vaksinasi Kanak-Kanak (PICKids) di Sehat Healthcare Center di sini memberi keceriaan kepada kanak-kanak untuk mengambil vaksin Covid-19 sekali gus dapat menghilangkan rasa takut mereka.
Ia diakui oleh ibu bapa yang hadir membawa anak-anak mereka ke situ dan beranggapan suasana begitu perlu diadakan di PICKids di tempat lain.
Suri rumah Nurul Izati Shamsul Bahar, 36, berkata, anaknya Anggun Dea Clemira Amar Hidayat, 5, yang pada awalnya agak takut bertukar teruja apabila melihat maskot Kellogg.
"Semalam (Khamis) saya beritahu dia yang hari ini (Jumaat) pergi cucuk vaksin dan dia merengek, takut kerana beranggapan akan dimasukkan ke hospital.
"Tapi bila sampai ke pusat vaksin dia jadi seronok kerana disambut dengan dua maskot Kellogg dan terus mahu mengambil gambar," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Pada PICKids berkenaan, Maskot Mr P dan Tony Tiger daripada Kellogg Asia Product Sdn Bhd dibawakan khas sebagai tanda sokongan terhadap Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam menjayakan PICKids.
Seorang lagi ibu, Marsila Ahmad Munir, 49, yang membawa anak bongsunya Wan Muhammad Arasy Wan Abd Razak, 11, turut teruja melihat kehadiran maskot berkenaan.
Katanya, ia dapat mengalihkan tumpuan kanak-kanak yang sememangnya takut untuk menerima suntikan.
"Anak saya tiada masalah nak cucuk vaksin dan dia pun tak cakap takut. Ia melegakan hati saya.
"Tapi bagi saya perlu juga ada suasana ceria seperti dilakukan di PICKids di sini ( Sehat Healthcare Center) kerana ia bukan saja dapat hilangkan tekanan anak-anak untuk menerima suntikan, tapi dapat menarik minat mereka untuk datang ke sini menerima vaksin," katanya.
Menurutnya, penting untuk anak-anak menerima vaksin bagi mengurangkan risiko jangkitan Covid-19, apatah pula dengan keadaan kes yang semakin meningkat.
Sementara itu, Pengarah Kilang Kellogg Asia Product Sdn Bhd, S Matan Raj berkata, program kerjasama dengan Sehat Healthcare Centre itu diadakan bertujuan meningkatkan pengambilan vaksin Covid-19 dalam kalangan kanak-kanak.
"Kerjasama melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Kellogg ini akan berlangsung selama dua hari dan kami akan merancang aktiviti seumpama ini di PPV lain kelak," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!