Bantuan anak-anak kehilangan ibu bapa akibat Covid-19 segera diserah
KUALA LUMPUR - Kerajaan melalui Yayasan Keluarga Malaysia akan menyegerakan penyerahan sumbangan kepada anak-anak yang kehilangan ibu atau bapa atau kedua-duanya sekali akibat Covid-19, yang belum menerima bantuan itu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bantuan secara sekali beri berkenaan bagi membantu anak-anak itu dari peringkat sekolah hingga universiti.
"Saya telah beritahu Ketua Setiausaha Negara (Tan Sri Mohd Zuki Ali), kita akan bayar terus kepada penerima (di seluruh negara) bagi meringankan beban mereka, terutamanya sesi persekolahan bermula Isnin ini serta beberapa institusi pengajian tinggi juga telah bermula,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Sumbangan Yayasan Keluarga Malaysia yang turut dihadiri Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid; Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim dan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.
Ismail Sabri sebelum itu menyerahkan sumbangan itu kepada 42 penerima di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL), pada Jumaat.
Seorang penerima Khairil Rizal, 42, yang kehilangan isteri akibat Covid-19 Ogos lepas berkata, beliau kini menjaga tiga anaknya yang berusia 13, 10 dan enam tahun.
"Terima kasih atas bantuan ini, kebetulan sekolah dah nak buka, masing-masing dah bersekolah, kos tinggi...tahun lepas saya berbelanja hampir RM2,000 untuk sekolah anak-anak.
"Sebelum ini saya berniaga secara dalam talian yang diusahakan bersama isteri, sejak arwah tiada, pendapatan kami terjejas. Isteri dijangkiti Covid-19 ditahap lima, dia terpaksa ditidurkan dan berada di hospital selama sebulan,” katanya kepada Bernama.
Ernah Tokol, 32, pula kehilangan suami pada September lepas dan dia kini menyara empat anak berusia antara satu hingga 12 tahun.
Katanya, pemergian suami, Mohd Affendi Amir Hamzah, 35, memberi kesan terhadap pendapatan serta emosi keluarga, bagaimanapun keadaan semakin pulih dan anak-anak dapat menerima kehilangan orang tersayang.
"Sekarang ini saya dibantu keluarga suami menguruskan kedai makan, terima kasih bantuan ini, sekurang-kurangnya dapat meringankan kewangan saya dan keluarga,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!