Segerakan PRU15 keinginan akar umbi: Ahmad Zahid
KUALA LUMPUR - UMNO secara jelas memahami keputusan untuk membubarkan Parlimen bagi memberi laluan Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan terletak pada ketetapan Kabinet sebelum dibawa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mendapatkan perkenan.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, parti yang diterajuinya juga tidak berhasrat untuk mengganggu proses tersebut serta menjunjung Perlembagaan negara.
“UMNO adalah sebuah parti yang menjunjung Perlembagaan negara. Kita faham bahawa kuasa untuk membubarkan Parlimen adalah keputusan Kabinet, di mana Perdana Menteri yang akan berurusan dengan memohon perkenan kepada Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuanan Agong. Itu semua kita tahu.
“Kita tidak mahu mengganggu urusan itu. Tetapi, UMNO sebagai sebuah parti yang bertanggungjawab, kita ada kuasa untuk menentukan arah tuju parti kita sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika pada Majlis Pembukaan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL) di sini pada Jumaat.
Menjelaskan lebih lanjut, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, hasrat untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) secepat mungkin sememangnya tidak boleh dinafikan kerana ia menjadi keinginan akar umbi UMNO ketika ini.
“Apabila mood di bawah dalam Pilihan Raya Kecil (PRK), Pilihan Raya Negeri (PRN) dalam ke arah kita (adakan PRU15) hendak tunggu apa lagi?” katanya.
Menyentuh mengenai kesepakatan Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang telah ditandatangani bersama antara blok kerajaan ketika ditadbir bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan blok pembangkang yang keabsahannya sehingga 31 Julai 2022, Ahmad Zahid menyerahkan kepada kebijaksaan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk membuat keputusan.
Namun katanya, UMNO perlu bersikap berhati-hati untuk meneruskan kerjasama itu memandang pihak lawan tidak pernah berhenti daripada berusaha untuk menghancurkan parti.
“Apabila mereka bersetuju untuk menandatangani Memorandum Persefahaman, ia bererti mereka ada muslihat tertentu.
“Saya percaya, mereka menerima kita, kerana mereka tahu itulah cara mereka boleh membunuh kita. They never love us! (mereka tidak pernah menyayangi kita) Bacalah perlembagaan setiap parti lawan kita. Sedarlah! You are sleeping with your enemies (Kita sedang tidur dengan musuh kita). Mereka menyimpan belati dalam selimut kita. Apakah kita mahu menyambung MOU itu lagi?” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!