Terlalu fokus menentang rasuah punca Pejuang kalah PRN Johor: Tun M

Dr Mahathir (dua dari kanan) ketika sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya pada Jumaat.
Dr Mahathir (dua dari kanan) ketika sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya pada Jumaat.
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Terlalu fokus untuk menentang rasuah antara punca Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) kurang mendapat sokongan rakyat sekali gus kalah dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor baru-baru ini.

Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kurang penekanan diberikan terhadap masalah-masalah yang dihadapi rakyat ketika ini menjadi antara punca sokongan terhadap parti itu berkurangan.

Beliau menegaskan, Pejuang akan terus menekankan dan memperjuangkan isu-isu keperluan rakyat.

"Kita dapati dalam perasaan tidak senang terhadap masa depan orang Melayu khususnya, negara amnya mungkin tidak akan selamat terutama berkenaan rasuah.

"Kita tumpu kuat untuk membanteras rasuah sehingga kurang menekan masalah yang dihadapi rakyat seperti pengangguran, tidak cukup makanan, ada yang dihalau keluar rumah kerana tidak bayar sewa.

"Ini tidak diberi tekanan sepatutnya dan menyebabkan pengundi tidak tertarik dengan hujah kita berkenaan rasuah," katanya ketika sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya di sini pada Jumaat.

Beliau berkata, tempoh masa pendek pilihan raya juga tidak memberi banyak peluang untuk parti itu membuat persiapan.

"Tetapi ini adalah tanggungjawab parti untuk bertindak dalam arena politik kerana kita berpendapat pemerintah yang dipilih oleh rakyat di Johor, Melaka dan Sarawak tidak baik bagi negara.

Artikel Berkaitan:

"Kita masih berpendapat mereka (Barisan Nasional) tidak sepatutnya menjadi kerajaan kerana mereka datang daripada parti yang jelas terlibat dengan jenayah besar yang merosakkan negara.

"Kita tidak tahu sama ada mereka akan betulkan diri mereka, tetapi besar kemungkinan mereka tidak dapat elak daripada bergantung kepada rasuah untuk mengekalkan diri," katanya.

Dr Mahathir berkata, kalau mereka disokong kerana rasuah, ada kemungkinan pemulihan negara tidak dapat dicapai.

"Selama-lamanya negara akan dimiliki dan diperintah oleh perasuah yang akan menggunakan kuasa kerajaan untuk mengekalkan diri mereka," jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!