Ratusan jaket kalis peluru untuk dihantar ke Ukraine lesap
NEW YORK - Lebih 400 jaket peluru terpakai yang disumbangkan pasukan polis Amerika Syarikat (AS) dan disimpan di sebuah gudang di New York dilarikan sekumpulan individu tidak dikenali dalam insiden awal Rabu lalu.
Jaket kalis peluru sumbangan Jabatan Polis New York (NYPD) itu sebelum ini diserahkan kepada Jawatankuasa Kongres Ukraine-Amerika serta Liga Wanita Kebangsaan Ukraine-Amerika.
Ia sepatutnya dihantar ke Ukraine untuk dipakai anggota paramedik dan pekerja misi kemanusiaan.
"Biar pun ia ves lama dan berusia, tetapi ia masih berkesan untuk melindungi si pemakainya.
"Ia bukan bertujuan dipakai di medan perang," kata seorang pegawai NYPD.
Difahamkan, kesemua jaket kalis peluru tersebut disimpan di sebuah gudang di Manhattan.
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari kedai serbaneka berhampiran memaparkan, beberapa individu menyumbat jaket kalis peluru tersebut ke dalam tiga van berlainan.
Setakat ini, NYPD tidak mengeluarkan sebarang kenyataan sama ada pihaknya sudah mengesan pemilik van atau kumpulan yang mendalangi rompakan berkenaan. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!