Resort Villa Danialla milik Haflin Nazri Aziz bakal dijual
BACHOK - [DIKEMAS KINI] Villa Danialla Beach Resort di Kandis, di sini dibuka untuk pembeli berpotensi bagi memastikan pusat pelancongan berusia 15 tahun itu tetap terus gah selepas ini.
Memetik laporan portal Getaran pada Jumaat, Pengarah Urusan Villa Danialla Beach Resort, Datin Seri Haflin Nazri Aziz berkata, keputusan untuk menjual pusat peranginan berkenaan dibuat dengan berat hati memandangkan pembinaannya hasil titik peluh Allahyarham ibunya, Datuk Siti Hamidah Hamat.
"Saya akui saya sayangkan resort ini sebab ia mempunyai nilai sentimental yang tinggi melibatkan arwah ibu saya. Bermula dari tanaman pokok, hiasan, konsep, semuanya idea arwah," katanya ketika ditemui Getaran di sini.
Menurutnya, keputusan untuk melepaskan pusat peranginan tersebut disebabkan beberapa alasan kukuh, antaranya kerana kekangan masa untuk menguruskan pusat peranginan berkenaan.
Beliau berkata, pusat peranginan berkenaan perlu dikendalikan mereka yang berpengalaman dalam bidang perhotelan dan pelancongan supaya legasi resort itu dapat diteruskan dengan baik.
"Villa ini terletak di kawasan yang sangat strategik di Tok Bali dan ia sudah dikenali ramai. Oleh sebab itu saya berharap pembeli tersebut dapat mengendalinya dengan sebaik mungkin selepas ini.
"Ini bukan satu keputusan yang mudah, namun saya berharap dengan keputusan ini, ia akan memberi lebih kebaikan kepada villa dan memberi manfaat kepada sektor pelancongan di kawasan ini," katanya.
Villa Danialla Beach Resort dibina di atas tanah berkeluasan 3.4 hektar itu mempunyai 79 bilik, dua dewan dan satu kolam mandi yang bernilai RM24 juta.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!