Beri Pan-gon masa bentuk Harimau Malaya
PENJAGA gol kebangsaan Mohd Farizal Marlias menyokong kenyataan pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT) Tunku Ismail Sultan Ibrahim supaya pengendali Harimau Malaya Kim Pan-gon diberikan masa membentuk sebuah pasukan yang mantap.
Mohd Farizal yang juga penjaga gol nombor satu JDT berkata, Pan-gon masih baharu bersama skuad kebangsaan dan memerlukan tempoh sewajarnya untuk mengenal pasti keupayaan barisan pemain negara.
"Saya setuju (kenyataan Tunku Ismail) kerana jurulatih baru berada di sini dan dia harus mengenal pasti kebolehan pemain dan mengenal pasti bagaimana cara untuk bermain.
"Jadi sudah pasti untuk berjaya perlu ambil masa,” katanya ketika ditemui sebelum sesi latihan skuad kebangsaan di Stadium Nasional di Bukit Jalil pada Jumaat.
Tunku Ismail pada Khamis bertitah, masih terlalu awal untuk menilai tahap dan kemampuan Pan-gon mengendalikan skuad kebangsaan.
Baginda bertitah, kemampuan seseorang jurulatih itu tidak boleh diukur berdasarkan saingan bagi satu musim sahaja, sebaliknya Pan-gon perlu diberi masa untuk membuktikan kemampuannya membawa kejayaan buat pasukan negara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!