Seluruh England: Zii Jia atasi Momota, mara separuh akhir
PENYANDANG juara Seluruh England, Lee Zii Jia meneruskan momentum positif dalam kempen mempertahankan kejuaraan apabila mengesahkan slot separuh akhir.
Pemain perseorangan utama negara mara selepas menjinakkan bintang sensasi Jepun, Kento Momota dalam perlawanan suku akhir di Arena Utilita, Birmingham.
Zii Jia yang berstatus pemain nombor tujuh dunia juga pilihan keenam kejuaraan berprestij benua Eropah itu bermula garang apabila memenangi set pertama 21-7.
Namun Momota yang berstatus pilihan nombor dua kejuaraan kembali menyamakan kedudukan di set kedua apabila memacu kemenangan 13-21 bagi mengheret perlawanan ke set penentuan.
Pada aksi penentuan itu, ternyata tuah mengiringi pemain kelahiran Kedah tersebut kembali menyengat apabila mencipta kemenangan 21-11 dalam perlawanan sengit yang berlangsung selama 64 minit.
Kemenangan itu membolehkan Zii Jia mara ke separuh akhir sekali gus menyaksikannya bakal berdepan bintang utama dari India, Lakhsya Sen.
Sementara itu, pengembaraan beregu campuran negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing terkandas di separuh akhir setelah tewas kepada pasangan China, Zheng Si Wei-Huang Ya Qiang.
Pilihan ketujuh kejuaraan tersebut terpaksa mengalah kepada gandingan pilihan kedua Ya Qiong-Si Wei dalam tempoh 37 minit.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!