Cubaan gugat kedaulatan negara gagal

Laporan Sinar Harian pada Jumaat.
Laporan Sinar Harian pada Jumaat.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Cubaan untuk menggugat kedaulatan negara gagal apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengesahkan kerajaan telah memfailkan permohonan untuk membatalkan Final Award berhubung isu tuntutan pihak mengaku sebagai waris Sultan Sulu pada 3 Mac lalu di Mahkamah Arbitari Paris, Perancis.

Ismail Sabri dalam satu kenyataan pada Jumaat berkata, tuntutan oleh pihak yang mengaku sebagai waris kepada Sultan Sulu terhadap kerajaan Malaysia melalui prosiding timbang tara antarabangsa itu adalah tidak sah dan melanggari undang-undang

Beliau menegaskan, tindakan itu dibuat bagi memastikan Malaysia tidak perlu membayar wang pampasan sebanyak AS$14.9 bilion (RM62.59 bilion) seperti yang dituntut.

Malah katanya, Malaysia tidak akan berganjak dan akan terus menjaga dan mempertahankan kedaulatan negara serta kedudukan Sabah dalam Malaysia.

Baru-baru ini, Wisma Putra dan Peguam Negara dalam kenyataan bersama tidak mengiktiraf tuntutan itu dan tidak mengambil bahagian dalam prosiding timbang tara itu kerana Malaysia sentiasa mempertahankan dan tidak pernah mengetepikan kedaulatannya sebagai sebuah negara berdaulat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar (Parlimen dan Undang-undang) menegaskan, lantikan penimbang tara yang dilantik, Dr Gonzalo Stampa telah dibatalkan dan tidak lagi sah dari segi undang-undang.

Pada 22 Januari 1878, perjanjian dimeterai antara Sultan Mohamet Jamal Al Alam (Sultan Sulu) dengan Baron de Overbeck dan Alfred Dent.

Perjanjian itu bertujuan untuk menjaga kepentingan mereka di Sabah, namun selepas pencerobohan Tentera Kesultanan Sulu di Lahad Datu, Sabah, kerajaan Malaysia menghentikan serahan wang ihsan kepada waris Kesultanan Sulu.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!