Taja rumput di SNBJ selamatkan jutaan ringgit wang rakyat

Tunku Ismail - Foto Bernama
Tunku Ismail - Foto Bernama
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Pemilik kelab Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menganggap tindakannya menaja kos penanaman rumput baharu di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) menyelamatkan jutaan ringgit wang rakyat.

Menurut Tunku Mahkota Johor, kos menaman rumput jenis 'Zeon Zoysia' itu tidak tinggi seperti diuar-uarkan sesetengah pihak.

"Penggunaan rumput jenis itu bagi menggantikan rumput jenis 'Cow Grass' di SNBJ adalah lebih baik dan sudah terbukti apabila JDT turut menggunakan rumput yang sama di Stadium Sultan Ibrahim di sini.

"Ia sudah terbukti ketahanan rumput jenis `Zeon-Zoysia', tak perlulah nak buat buat kajian sendiri. Orang nak bagi, terima sahajalah, jika tak saya tak rugi apa-apa pun.

"Apa yang saya lakukan adalah untuk memberi solusi yang terbaik bagi menyelesaikan masalah rumput di stadium berkenaan," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat JDT di sini pada Khamis.

Pada Sabtu, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menerima penajaan Tunku Ismail bagi membaik pulih padang di SNBJ malah beliau memberi jaminan akan memastikan bahawa padang berkenaan akan diselia dan dijaga dengan baik.

Tunku Ismail berkata, sebenarnya kos menaik taraf padang bola sepak tidak tinggi seperti yang disangkakan.

"Jika ada sesiapa yang kata kos untuk buat padang bola adalah RM7 juta atau RM10 juta, nampak sangat menipu, cerita karut.

Artikel Berkaitan:

"Kos menaik taraf padang ini tak sampai RM1 juta, saya sudah selamatkan jutaan ringgit duit rakyat," katanya.

Tunku Ismail memberitahu akan mengadakan lawatan ke SNBJ pada hari ini bagi meninjau keadaan di stadium tersebut.

Penanaman rumput jenis 'Zeon Zoysia' di SNJB kata Tunku Mahkota Johor, akan dilakukan secepat mungkin setelah mendapat kelulusan daripada pihak kementerian.

Mengulas lanjut, Tunku Ismail menjelaskan, kos memasang rumput baharu itu menelan kira-kira RM900,000 dan akan meningkat kepada RM1.4 juta sekiranya tidak dilengkapi dengan sistem perparitan di stadium.

Bekas Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) itu berkata, kos selenggara pula adalah sekitar RM200,000 setahun sahaja.

Tambahnya, selain melakukan penanaman rumput di SNBJ, Tunku Ismail akan melakukan perkara sama di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Johor Bahru dan di pusat latihan.

"Untuk penambahbaikan di Stadium Larkin, kita tak sempat buat sebelum saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) yang membabitkan Kumpulan I dan proses berkenaan hanya akan dilakukan selepas saingan ACL," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!