ASDAF terima bantuan persekolahan RM20,000
KUALA LUMPUR - Asrama Darul Falah (ASDAF) di Bukit Persekutuan di sini menerima bantuan persekolahan sebanyak RM20,000 yang disumbangkan Datasonic Group Berhad.
Naib Presiden Eksekutif Komunikasi Strategik Datasonic Group Berhad, Safia Dauk Hanifah berkata, ia merupakan sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab korporat syarikat itu dalam usaha untuk menyumbang kepada komuniti setempat.
Menurutnya, sumbangan tersebut dapat dimanfaatkan untuk penambahbaikan infrastruktur asrama dan persediaan kembali ke sekolah buat anak-anak yang menginap di asrama berkenaan.
“ASDAF merupakan fasiliti khas untuk penginapan dan penjagaan anak-anak Orang Asli di Bukit Persekutuan, Kuala Lumpur.
“Buat masa ini ia menempatkan seramai 50 anak-anak yatim dan keluarga yang kurang berkemampuan dari kalangan Orang Asli,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Safia menyempurnakan penyerahan cek sumbangan tersebut kepada Presiden ASDAF, Abdul Halim Mohamad disaksikan Naib Presiden ASDAF, Azmi Azman dan Pengetua ASDAF, Mohamad Muda.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!