327 lokasi runtuhan cerun dikenal pasti di seluruh negara
GURUN - Sebanyak 327 runtuhan cerun di jalan persekutuan telah dikenal pasti di seluruh negara untuk proses baik pulih membabitkan kos lebih RM400 juta.
Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak 121 lokasi sudah siap dibaik pulih dan masih dalam pembinaan, sementara selebihnya masih dalam perancangan untuk kerja-kerja baik pulih.
Katanya, antara lokasi runtuhan yang serius termasuk di Cameron Highland, Pahang; Simpang Pulai, Perak; dan Genting Peras di Negeri Sembilan.
"Pembaikan ini melibatkan runtuhan cerun di Jalan Persekutuan, ada yang sudah siap, ada yang masih dalam pembinaan dan ada yang dalam perancangan bergantung kepada tahap keseriusan," katanya ketika ditemui di Program FTRoadpedia Utara 2.0 dan tinjauan pembaikan cerun pasca banjir di Jalan Gunung Jerai di sini pada Sabtu.
Dalam pada itu, Fadillah berkata, proses baik pulih tujuh cerun di Gunung Jerai dijangka siap sepenuhnya menjelang April ini.
“Pasca banjir besar di Gunung Jerai in terdapat tujuh runtuhan dan sebahagian besar daripadanya sudah siap," katanya.
Menurutnya, kerajaan negeri juga menaruh harapan besar supaya projek itu disiapkan seawal mungkin supaya jalan Gunung Jerai dibuka semula untuk pelancong.
"Kerja pembaikan agak kompleks kerana bukan sekadar baiki cerun tetapi sebahagiannya kita pasang jaring untuk lindungi jalan. Insya-ALLAH Mei ini jalan Gunung Jerai akan dibuka untuk semua," katanya.
Fadillah menambah, lokasi pembaikan cerun itu selain Gunung Jerai turut membabitkan di laluan K1 Jalan Kuala Kedah, Yan, Singkir dan Kampung Badong
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!