Sahabat Maidam mudahkan bantu asnaf tercicir
KUALA TERENGGANU – Hasrat membantu golongan asnaf tercicir kini lebih mudah dengan hanya memuat turun aplikasi Sahabat Maidam yang dibangunkan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) melalui Google Play Store dan Apple Store.
Ketua Pegawai Eksekutif Maidam, M Rozi Bidin berkata, aplikasi Sahabat Maidam yang mula beroperasi sejak tahun lalu itu sudah menerima lebih 30 aduan berkaitan asnaf di seluruh Terengganu dan semuanya telah berjaya diselesaikan.
Sehubungan itu menurutnya, orang ramai diharap mengambil peluang mendaftar sebagai Sahabat Maidam dan membantu menyalurkan maklumat berkaitan asnaf yang memerlukan bantuan bagi memudahkan Maidam mengambil tindakan sewajarnya.
“Selepas daftar, mereka boleh buat aduan kepada Maidam lengkap dengan lokasi rumah dan gambar. Berbeza dengan sebelum ini, pengadu perlu lukis peta secara manual jadi pasukan kita terpaksa mengambil masa untuk menjejaki asnaf ini.
“Perkembangan teknologi ini menjadikan tempoh penyelesaian aduan berkaitan asnaf ini dapat dipendekkan berbanding tempoh sebelum ini,” katanya selepas Program Fun Ride Sahabat Maidam di Menara Jambatan Angkat, di sini pada Sabtu.
Majlis disempurnakan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Tengku Farouk Husin Tengku Abdul Jalil itu turut melibatkan penyerahan bantuan bina baharu kiosk di Kampung Gong Gemia dan agihan bantuan kepada asnaf.
M Rozi berkata, selain memudahkan penyaluran aduan, aplikasi tersebut turut membantu pengadu dan asnaf terlibat memeriksa status terkini aduan pada bila-bila masa dan di mana sahaja tanpa perlu menghubungi pejabat atau ke kaunter Maidam.
Sementara itu, ketika berucap pada majlis tersebut M Rozi memaklumkan Maidam telah berjaya mengagihkan zakat berjumlah RM202.2 juta kepada lapan kategori asnaf di negeri ini sepanjang tahun lepas.
Menurut beliau, agihan itu meningkat 18 peratus atau RM31 juta berbanding tahun 2020 dan ia diharap berterusan bagi membantu meringankan beban asnaf yang terlibat.
“Maidam sentiasa berusaha memberi khidmat terbaik agar golongan sasar ini mendapat perhatian sewajarnya dan baru-baru ini Maidam telah membantu ketua isi rumah terjejas banjir sebanyak RM500 melibatkan jumlah keseluruhan RM5.3 juta,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!