Pemandu lori mohon sedia pusat pemeriksaan saringan PCR
JOHOR BAHRU - Persatuan Pengusaha Lori Johor mencadangkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) menyediakan pusat pemeriksaan saringan Covid-19 RT-PCR (PCR) di Tambak Johor dan LinKedua khusus untuk pemandu lori dari negara ini yang masuk ke Singapura.
Presidennya, Novan Hing berkata, kemudahan tersebut perlu kerana republik itu mengarahkan semua pemandu lori dari negara ini berbuat demikian berkuat kuasa 24 Mac ini.
Beliau memberitahu, pihaknya hanya dimaklumkan berhubung peraturan itu minggu lalu namun sehingga kini tiada sebarang kenyataan rasmi daripada kerajaan Malaysia mengenai perkara itu.
"Sebelum ini, semua pemandu lori yang memasuki Singapura perlu melakukan ujian RT-PCR (PCR) selepas mereka masuk ke Singapura dengan kos tersebut ditanggung kerajaan itu.
"Namun arahan terbaru yang kami terima ialah kini semua pemandu lori perlu melakukan ujian sendiri dan terpakai hanya untuk tempoh dua hari," katanya kepada pemberita di Bakar Batu di sini pada Sabtu.
Katanya, pelaksanaan prosedur itu bukan sahaja akan meningkat kos pengusaha lori tetapi mengganggu proses penghantaran barang kerana mereka perlu ke klinik atau hospital terlebih dahulu untuk melakukan ujian berkenaan.
Pelaksanaan prosedur baharu itu katanya, turut memberi kesan kepada pelanggan apabila berlaku pertambahan kos terhadap pengusaha lori.
"Kami berharap kerajaan dapat membantu memudahkan pelaksanaan prosedur baharu ini iaitu dengan membuka pusat ujian saringan di kedua-dua sempadan iaitu di Tambak Johor dan LinKedua.
Beliau memohon kos pelaksanaan ujian berkenaan dapat ditanggung pihak kerajaan bagi memastikan tiada beban tambahan dikenakan terhadap pengusaha lori dan pelanggan.
Novan turut berharap kerajaan Singapura dapat menangguhkan pelaksanaan prosedur berkenaan kerana pihaknya memerlukan masa untuk memastikan kesemua persiapan dapat dibuat dengan lancar.
Sementara itu, seorang pemandu lori, Mohd Fadhli Daud, 50, berkata, prosedur baharu itu akan mengganggu kelancaran penghantaran barangan ke negara berkenaan.
"Ini kerana kebiasaannya pemandu lori masuk ke Singapura awal pagi sebelum klinik dibuka, jadi proses ujian akan mengganggu jadual perjalanan lori.
"Oleh itu sebaiknya kerajaan sediakan tempat ujian di kedua-dua pintu sempadan bagi memudahkan proses itu dilaksana, selain membantu menangguhkan kos berkenaan," katanya.
Mohd Fadhli yang sudah menjadi pemandu lori rentas sempadan lebih 15 tahun itu turut memberitahu, anggaran kos tambahan bagi setiap pemandu ialah kira-kira RM1,000 sebulan apabila mereka diperlukan melakukan ujian berkenaan setiap tiga kali seminggu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!