OKU pendengaran atasi kekurangan jadi doktor veterinar

Dr Abdul Aziz Abdul ceria selepas Istiadat Konvokesyen UPM ke-45 di UPM pada Sabtu. - Foto Bernama
Dr Abdul Aziz Abdul ceria selepas Istiadat Konvokesyen UPM ke-45 di UPM pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

SERDANG - Meskipun mempunyai masalah pendengaran, kekurangan itulah yang menjadikan Dr Abdul Aziz Abdul Rahman, graduan doktor perubatan veterinar Universiti Putra Malaysia (UPM) lebih gemar berkomunikasi dan memahami haiwan.

Anak kelahiran Kuala Lumpur dengan masalah pendengaran separa normal itu kini bertugas sebagai doktor veterinar di sebuah klinik di Shah Alam dan merupakan antara penerima ijazah sempena Istiadat Konvokesyen UPM ke-45 di sini pada Sabtu.

"Disebabkan kekurangan saya, saya lebih suka berkomunikasi dengan haiwan berbanding manusia. Sebab kalau manusia perlukan percakapan, manakala haiwan memadai dengan menyaksikan tingkah laku mereka. Saya selesa dengan haiwan,” katanya kepada pemberita selepas majlis konvokesyen itu.

Dr Abdul Aziz, 25, berkata, beliau didiagnos mempunyai masalah pendengaran agak lewat iaitu ketika Tahun Satu iaitu menggunakan alat bantuan pendengaran pada usia tujuh tahun.

Beliau berkata, arwah ibunya merupakan individu yang paling banyak menyokong cita-citanya untuk menjadi doktor veterinar, ketika terdapat orang sekeliling yang mempertikaikan impiannya selain bidang veterinar masih belum dikenali ramai ketika itu.

"Kini tugas saya di klinik meliputi pemandulan dan pembedahan tisu lembut haiwan. Cita-cita saya pula adalah menjadi pakar bedah veterinar,” katanya yang turut menzahirkan penghargaan kepada majikannya yang sudi mengambilnya untuk bekerja biarpun tahu mengenai kekurangannya.

Dr Abdul Aziz turut menitipkan nasihat kepada golongan orang kurang upaya (OKU) agar tidak melihat kekurangan diri sebagai halangan untuk berjaya dalam hidup kerana semua orang berhak dan layak untuk memajukan diri masing-masing dengan usaha berterusan dan sokongan positif.

Graduan OKU berkerusi roda iaitu Hussain Said, 27, pula berjaya menamatkan pengajiannya dalam Master Bahasa Melayu setelah sebelum ini menamatkan pengajian dalam kursus Bacelor Sastera Bahasa dan Linguistik Melayu di UPM, hasil dorongan padu ibu bapanya yang mahu beliau belajar ke peringkat lebih tinggi.

Artikel Berkaitan:

Hussain berjaya menamatkan pengajiannya dalam Master Bahasa Melayu. - Foto Bernama
Hussain berjaya menamatkan pengajiannya dalam Master Bahasa Melayu. - Foto Bernama

Ditanya sebab memilih bidang pengajian bersandarkan Bahasa Melayu, Hussain yang bekerja sebagai juruwang di Tanjung Karang, Selangor berkata, beliau mahu mengubah mentaliti masyarakat dalam memartabatkan Bahasa Melayu.

"Kita lihat ada banyak penggunaan bahasa rojak, macam mana kita nak betulkan mentaliti masyarakat khususnya generasi muda untuk menggunakan Bahasa Melayu dengan betul. Itulah yang menyebabkan saya tertarik dengan bidang ini,” katanya.

Istiadat konvokesyen UPM yang bermula pada Sabtu sehingga 24 Mac melibatkan seramai 6,142 graduan merangkumi 484 penerima Ijazah Doktor Falsafah (PhD), Sarjana (1,611), Bacelor (3,564) dan Diploma (483). - Bernama



Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!