'Taubat banduan akhir'
KAJANG - Tiada insan suci yang tiada masa lampau dan tiada insan berdosa yang tiada masa depan.
Seorang banduan akhir mengakui kehidupannya kini menjadi lebih baik ketika di dalam penjara.
Menurutnya, penjara menjadikan dia insaf dan kembali kepada fitrah sebenar kehidupan sebagai Muslim.
“Sebelum ini saya sering mengejar keduniaan dan tidak mengambil kira perasaan keluarga jauh daripada syariat ALLAH.
“Bila saya di dalam ni (penjara) mungkin banyak ruang dan masa merenung balik apa yang kita terlepas dulu,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui pada program ‘Jom Mengaji Sebelum Tidur (JMST) Edisi Khas: Dari Penjara Menggapai Syurga’ sempena Hari Penjara ke-232 di Masjid Jabatan Penjara Malaysia di sini pada Jumaat.
Program anjuran Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) dengan kerjasama Jabatan Penjara Malaysia membawa surah Al-Sajdah ayat 18 hingga 22 dan surah Yusuf, ayat 33 dan 35 (kisah Nabi Yusuf di penjara) untuk ditadabbur.
Berkongsi kisah, banduan itu berkata, masa yang ada digunakan untuk perkara berfaedah dan kembali kepada ALLAH.
“Sujud paling terasa adalah sujud di waktu malam, saya tak mahu ulangi kesalahan lalu dan menginsafi apa yang telah berlaku,” katanya.
Seorang lagi banduan akhir yang ditemui mengakui hanya mula mengenali solat ketika di dalam penjara.
“Masa sebelum ditangkap dulu, saya adalah seorang yang lalai dan sering tinggalkan sembahyang.
“Didikan atau hikmah yang dapat semasa berada dalam penjara ialah saya dapat memperbetulkan diri dan kembali ke jalan yang benar,” katanya
Menurutnya, sujud dalam solat yang paling bermakna apabila sujud dengan penuh penyerahan.
"Semoga ALLAH SWT menerima taubat saya,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!