Tunku Ismail kurangkan beban pasukan Liga Malaysia

Tunku Ismail berkenan mencemar duli hadir meninjau keadaan padang di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu. - Foto Bernama
Tunku Ismail berkenan mencemar duli hadir meninjau keadaan padang di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

SELAIN menaja perbelanjaan pertukaran permukaan padang Stadium Nasional di Bukit Jalil, pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT) Tunku Ismail Sultan Ibrahim turut membantu pasukan Liga Premier Perak FC berhubung isu tunggakan gaji baru-baru ini.

Tunku Mahkota Johor itu mendedahkan, baginda juga pernah menyalurkan bantuan kepada empat lagi pasukan Liga Malaysia (Liga-M), dengan Selangor FC dan Kelantan sebanyak dua kali manakala Penang FC dan Melaka sekali mengenai isu sama.

Tunku Ismail bertitah, kesemua bantuan itu sengaja tidak dihebohkan kepada media sebelum ini.

"Tiga hari lepas pengurusan Perak FC ada datang berjumpa saya dan saya ada bagi sedikit sumbangan dan bantuan.

"Saya tidak boleh cakap berapa (jumlah), tetapi saya ada bagi sedikit bantuan untuk kurangkan beban Perak FC dan saya harap masalah itu (tunggakan gaji) boleh mereka selesaikan dalam masa terdekat,” titah baginda pada sidang media selepas meninjau permukaan padang di Stadium Nasional di sini pada Sabtu.

Selain lima pasukan itu, Tunku Ismail yang juga penaung Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) mengakui pernah menghulurkan sumbangan kepada persatuan itu.

"Dalam karier saya terbabit dalam bola sepak di negara ini, sudah banyak pasukan saya tolong. Cuma saya tidak bagi tahu media sahaja,” titah baginda.

Sebagai rekod, Tunku Ismail sebelum ini turut dilaporkan pernah membantu beberapa pemain pasukan yang berdepan tunggakan gaji daripada pasukan masing-masing.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, Tunku Ismail juga menjadi antara figura yang sering membela nasib pemain berdepan masalah itu. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!