[VIDEO] Bubar Parlimen dibincang bersama 5 pemimpin utama UMNO
KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi jaminan keputusan untuk membubarkan Parlimen bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan dibincangkan bersama lima pemimpin utama parti.
Beliau yang juga Perdana Menteri berkata, ini membuktikan cadangan yang dibawa oleh pembahas dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 didengarinya.
“Dua kemenangan besar dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) membuat kita menjadi lebih bersemangat untuk berjuang sehingga timbul permintaan supaya Parlimen dibubarkan segera.
“Saya mendengar cadangan pembahas-pembahas mengenai pembubaran Parlimen. Saya beri jaminan keputusan besar ini akan dibincangkan dengan ‘Top 5’ (lima pemimpin utama) parti,” katanya ketika penggulungan perbahasan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL) di sini pada Sabtu.
Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, perkara penting itu juga akan dibincangkan dalam Mesyuarat Kerja Tertinggi (MKT) UMNO sebelum dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk perkenan Seri Paduka Baginda.
Gesaan supaya PRU15 harus disegerakan antara isu utama dibahaskan oleh perwakilan yang menyertai PAU 2021 kali ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!