1,435 jerat hidupan liar dimusnahkan dalam Ops Bersepadu Khazanah

Perhilitan memandang serius usaha memerangi ancaman pemburuan hidupan liar terutama memasang dan menggunakan jerat.
Perhilitan memandang serius usaha memerangi ancaman pemburuan hidupan liar terutama memasang dan menggunakan jerat.
A
A
A

KOTA TINGGI - Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) yang dilaksanakan di Semenanjung Malaysia bermula awal September 2019 sehingga kini menyaksikan sebanyak 1,435 jerat hidupan luar dimusnahkan menerusi 39 siri rondaan yang dijalankan.

Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, sebanyak 187 kertas siasatan dibuka membabitkan 356 pesalah jenayah yang terdiri daripada 257 warga tempatan dan 99 warga asing.

Menurutnya, jerat dimusnahkan itu diperbuat daripada dawai atau kabel yang memberi ancaman terhadap hidupan liar seperti harimau, tapir, beruang, gajah, rusa, kijang, kambing gurun dan lain-lain spesis.

"Jumlah sitaan bagi OBK sepanjang tiga tahun ( 2019- 2021) sebanyak RM36.45 juta. OBK diteruskan pada tahun ini, di mana dua siri operasi telah dijalankan dengan 19 jerat hidupan liar dimusnahkan di lapangan.

"Selain itu Perhilitan juga mengesan 14 kesan khemah warga asing di kawasan hutan simpan dan taman negara, membabitkan 19 pesalah ditahan termasuk termasuk seorang warga Indonesia," katanya menerusi sidang akhbar di Desaru di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Razarudin Husin dan Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan), Datuk Abdullah Jaafar.

Beliau berkata, Perhilitan memandang serius usaha memerangi ancaman pemburuan hidupan liar terutama memasang dan menggunakan jerat.

"Saya mengajak semua pihak terus membanteras jenayah hidupan liar dan penggunaan jerat ini cukup berbahaya kepada haiwan liar.

Artikel Berkaitan:

"Misalnya, kalau hendak memasang jerat bagi menangkap babi, bukan setakat haiwan itu sahaja yang terkena jerat terbabit, sebaliknya segala jenis haiwan lain pun boleh terperangkap pada jerat yang dipasang," katanya.

Dalam pada itu, Abdul Kadir memberitahu, Akta Pemuliharaan Hidupan Liar (Pindaan) 2021( Akta 716) akan dilaksanakan mulai Jun depan selepas diluluskan di Parlimen pada Disember 2021.

"Akta ini selaras dengan usaha Perhilitan mengekang ancaman perburuan haram sekali gus menjamin konservasi hidupan liar.

"Menerusi pindaan itu, denda maksimum RM500,000 akan ditingkatkan kepada RM1juta dan hukuman penjara daripada 10 tahun kepada 15 tahun terhadap individu yang mengiklankan hidupan liar dalam talian," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!