Pulau Pangkor pelopor digitalisasi ReDI di Malaysia
IPOH - Pelaksanaan Program Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan (ReDI) di Pulau Pangkor dapat merealisasikan pulau bebas cukai itu sebagai Pulau Pelopor Digitalisasi ReDI di negara ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pelaksanaan ReDI yang dilancarkan hari ini sangat penting kerana ia akan memberi satu momentum kepada agenda digitalisasi negara terutama untuk pemain industri sektor peruncitan.
"Justeru, saya berharap melalui inisiatif KPDNHEP (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Perak, Pejabat Daerah dan Tanah Manjung, Majlis Perbandaran Manjung dan semua pihak yang terlibat maka ia dapat direalisasikan," katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran ReDI Peringkat Negeri Perak di Dataran Pangkor di Pulau Pangkor pada Sabtu.
Dalam pada itu, Nanta berkata, pihak ShopeePay menyumbangkan sebanyak 100 peralatan perniagaan iaitu Payung Niaga kepada peniaga kecil yang dikenal pasti bersesuaian di sekitar Pulau Pangkor untuk berlindung daripada cuaca hujan dan panas.
Katanya, kerjasama ShopeePay bersama pihak kementerian merupakan satu inisiatif yang memberi peluang kepada peniaga kecil-kecilan untuk memulakan atau mengembangkan perniagaan.
"Selain itu, bagi menyokong pelaksanaan program ReDI Pangkor ini juga, kementerian menerusi Sekretariat Perdagangan Pengedaran dan Industri Perkhidmatan sedang melaksanakan satu program insentif baharu kepada pengguna secara tanpa tunai di Pulau Pangkor ini.
"Program Insentif Norma Baharu 2022 ini akan melibatkan sumbangan keseluruhan berjumlah RM10,000 di mana pemberian RM20 kepada 500 orang pengguna boleh ditebus menggunakan aplikasi e-dompet terpilih,” katanya.
Beliau berkata, sumbangan ini diharapkan dapat memberi galakan kepada pengguna di Pulau Pangkor ini berbelanja menggunakan medium arus perkembangan teknologi semasa.
Nanta berkata, program yang berbentuk tambahan dan pelengkap berkenaan dijangka akan membantu lagi kementerian dalam merancakkan lagi program digitalisasi kepada peniaga di Perak ini.
Katanya, akan dapat melonjakkan lagi penggunaan e-dompet termasuk memberi impak secara terus kepada pengguna dan peniaga sekali gus membantu kembali perniagaan mereka.
"Pada masa sama, kementerian juga meneruskan Kempen Pembudayaan Norma Baharu Covid-19 Sektor Peruncitan bertempat di Jeti Pulau Pangkor ini, di antara langkah yang akan digunakan dalam kempen ini ialah melalui pemasangan Sistem Ulang Siar Digital.
"Sistem ini adalah salah satu strategi bagi memudahkan semua pihak menerima maklumat dengan pantas dan mudah. Dengan adanya program seperti ini ia akan mula memberikan impak positif yang disasarkan termasuk melonjakkan semula ekonomi peniaga di sekitar Pulau Pangkor dan negeri Perak yang terjejas teruk selepas pandemik Covid-19 ini," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!