Pulau Pinang wujud panduan jaga cerun
GEORGETOWN - Kerajaan negeri Pulau Pinang mengambil beberapa langkah pencegahan bagi memastikan kestabilan cerun bukit dan keselamatan orang awan dan persekitaran.
Exco Infrastruktur dan Pengangkutan, Zairil Khir Johari berkata, antara langkah yang diambil seperti mewujudkan Garis Panduan Keselamatan Pulau Pinang Untuk Pembangunan Tapak Bukit Edisi Kedua 2020 dan mewujudkan Garis Panduan Keselamatan Aktiviti Pertanian Di Kawasan Berbukit, Pulau Pinang 2021.
Menurutnya, kerajaan negeri juga mengarahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) memantau kawasan cerun bukit dan mengambil tindakan ke atas pemilik tanah jika ada aktiviti berkaitan tanpa kelulusan PBT.
"Kita juga akan memastikan semua cadangan pembangunan di kawasan cerun bukit tidak melebihi ketinggian 76 meter dari paras laut dan 'footprint' bangunan perlu berada di atas cerun kelas satu dan kelas dua sahaja.
"Selain itu, kita juga akan memastikan aktiviti pertanian sedia ada yang telah diusahakan oleh pekebun atau petani di cerun bukit tidak menghalang laluan air semulajadi," katanya dalam kenyataan di sini, pada Sabtu.
Zairil berkata, bagi cadangan pembangunan yang berada di atas cerun-cerun bukit kelas satu dan dua, satu laporan geoteknikal perlu disediakan oleh Jurutera Geoteknikal bertauliah dan mendapat kelulusan oleh Jawatankuasa Tanah Berisiko Negeri Pulau Pinang.
Selain itu, beliau berkata, kerajaan negeri melalui PBT telah mengarahkan semua pemilik bangunan yang berada di kawasan cerun bukit melakukan pemeriksaan dan penyenggaraan bagi pematuhan Seksyen 85(A), Akta Jalan Parit Dan Bangunan 1974.
"Kerajaan negeri telah mengarahkan PBT membuat pemantauan berkala ke atas 34 lokasi cerun-cerun yang berisiko berdasarkan laporan daripada Jabatan Mineral Dan Geosains Malaysia tahun 2021 serta laporan 'Slope Hazard And Risk Assessement For Penang Island tahun 2010' oleh Cawangan Kejuruteraan Cerun, Jabatan Kerja Raya (JKR).
"Kerajaan negeri telah mewartakan Garis Panduan Keselamatan Aktiviti Pertanian Di Kawasan Berbukit Pulau Pinang 2021 bagi aktiviti pertanian di kawasan cerun bukit," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!