Jangan harapkan hasil segera Harimau Malaya
LEGENDA bola sepak negara, Azman Adnan mengingatkan komuniti bola sepak negara ini supaya tidak mengharapkan skuad Harimau Malaya untuk mencapai hasil segera menjelang aksi persahabatan Siri Tiga-Negara FAS 2022 di Singapura minggu depan.
Sebaliknya, bekas pemain berusia 51 tahun itu berkata, sebarang proses penambahbaikan skuad bimbingan ketua jurulatih Kim Pan-gon itu memerlukan masa secukupnya untuk membuahkan hasil.
“Kita sebagai peminat perlu memberi ruang kepada jurulatih untuk menilai pemain yang dipanggil dan berkemungkinan yang dia (Pan-gon) panggil bukan skuad utama lagi.
“Kita jangan terlalu berharap untuk meminta sesuatu menakjubkan daripada pasukan negara. Sebagai peminat perlu memberi sokongan padu kepada mereka,” katanya ketika sidang media majlis pelancaran koleksi digital token tidak sepiawai Azman Adnan Non-Fungible Tokens (AANFT) di DC2Space, Kuala Lumpur pada Sabtu.
Mengulas lanjut, bekas penyerang kebangsaan itu juga berharap untuk melihat pasukan negara mampu menunjukkan corak permainan yang ‘garang’ dalam saingan itu nanti.
“Saya ingin melihat pemain kebangsaan menunjukkan prestasi terbaik dan saya ingin melihat mereka memberi kelainan dalam perlawanan akan datang ini,” katanya.
Pada masa sama Azman juga meletakkan harapan tinggi supaya kehadiran Pan-gon dapat melahirkan lebih ramai penyerang berbisa.
"Setakat ini kita kurang penyerang yang berwibawa dalam pasukan negara jadi kita mengharapkan kepada pemain yang dipilih oleh jurulatih agar memberi yang terbaik dalam perlawanan.
“Tak kisah siapa yang jadi penyerang, yang penting kesemua pemain akan memberi sepenuh hati untuk berjuang habis-habisan,” katanya.
Skuad kebangsaan akan berlepas ke Singapura Selasa ini bagi memulakan aksi persahabatan antarabangsa menentang Filipina pada 23 Mac dan tuan rumah (26 Mac) di Stadium Nasional Singapura.
Selepas itu, pasukan negara dijadualkan menentang kelab Liga Singapura (Liga-S), Albirex Niigata di Stadium Jalan Besar pada 28 Mac. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!