BENTONG- Tindakan tegas harus dikenakan terhadap penganjur dan penyelia program motivasi yang melakukan aktiviti tidak senonoh di sebuah pusat peranginan di daerah ini, Isnin lepas. ADUN Ketari, Young Syefura Othman, berkata tindakan undang-undang juga perlu diambil terhadap pemilik hotel tersebut kerana membenarkan perbuatan atau kegiatan membabitkan aksi melampau dan lucah ini bukan baharu berlaku malah pernah berlaku kes sama di pusat peranginan tersebut pada Januari 2017. Menurutnya, tindakan tersebut perlu dilakukan bagi mengekang sebarang perbuatan atau aktiviti melampau dan lucah dilakukan semula dalam daerah ini di samping perbuatan atau kegiatan berkenaan tidak menjadi ikutan oleh pihak lain terutama di kalangan generasi muda. "Ini merupakan satu perkara yang bukan tidak sengaja tetapi sengaja dilakukan dan sememangnya tindakan tegas perlu diambil supaya tiada pihak memandang ringan terhadap isu terbabit pada masa akan datang. "Perkara ini sepatutnya tidak berlaku yang sememangnya salah di sisi undang-undang. Perlu diketahui, sebarang perbuatan tidak sihat boleh membuka ruang terhadap perkara tidak diingini. "Oleh itu, sebelum terlambat, tindakan pencegahan melalui proses undang-undang perlulah diambil bagi membendungnya sebelum ia menjadi perkara biasa," katanya. ARTIKEL BERKAITAN Pakai baju, seluar dalam ketika kursus Young Syefura berkata pihaknya juga telah mengarahkan pihak polis untuk mengambil tindakan tegas kerana kejadian tersebut telah pun mencemarkan semula imej negara selain merosakkan akhlak rakyat tempatan. Menurutnya, pihaknya juga akan berjumpa dengan pemilik dan pihak pengurusan pusat peranginan tersebut bagi membincangkan mengenai kejadian tersebut yang tidak sepatutnya berlaku di daerah ini "Saya belum lagi berkesempatan untuk berjumpa dengan pemilik resort tersebut namun saya telah merancang dalam masa terdekat ini untuk berjumpa dengan mereka sebab apa perkara ini berlaku lagi. "Saya sememangnya mahukan tindakan tegas dikenakan kepada kedua-dua pihak (penganjur dan pemilik resort) dan mereka perlu bertanggungjawab kerana perkara itu memalukan budaya kita sebagai rakyat Malaysia kepada mata orang luar. "Walaupun tempat tersebut merupakan pusat peranginan persendirian tetapi undang-undang tetap undang-undang yang perlu dipatuhi. Sepatutnya mereka (resort) perlu letak pengawasan memantau aktiviti para peserta tersebut," katanya. Sinar Harian semalam melaporkan perbuatan tidak senonoh sekumpulan peserta wanita yang mengikuti kursus motivasi dengan mengenakan pakaian dalam di kawasan sebuah pusat peranginan di Bukit Tinggi mengundang rasa tidak senang penduduk setempat. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Datuk Othman Nanyan berkata, program berkenaan disertai seramai 80 peserta wanita yang juga pekerja pusat spa terbabit dari Kuala Lumpur dan Johor Bahru. Menurutnya, pihaknya kini telah menahan empat lelaki dan 30 wanita yang dipercayai pengendali dan peserta kursus motivasi itu selepas menerima laporan tersebut.