DBP kemuka tiga perkara utama pinda Akta DBP
SHAH ALAM - Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mengemukakan pindaan Akta DBP membabitkan tiga perkara utama bagi membolehkan penguatkuasaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan termasuk di pihak berkuasa tempatan (PBT).
Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Profesor Datuk Seri Dr Awang Sariyan berkata, ia melibatkan pemberian kuasa penguatkuasaan penggunaan bahasa Melayu dalam sektor yang ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan.
Menurut beliau, Perkara 152(6) memperuntukkan penggunaan bahasa Melayu dalam pentadbiran kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan pihak berkuasa awam.
“Selain itu, peruntukan berkenaan membolehkan DBP mengembangkan bahasa dan persuratan Melayu di peringkat antarabangsa berasaskan undang-undang walaupun DBP sejak tahun 1980-an telah melaksanakan pengembangan bahasa dan persuratan Melayu di peringkat dunia.
“Pindaan aspek pengantarabangsaan juga berkait rapat dengan kelulusan Jemaah Menteri menubuhkan Majlis Antarabangsa Bahasa Melayu (MABM) pada tahun 1997 dengan DBP sebagai urusetia,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri mengumumkan Akta Dewan Bahasa dan Pustaka akan diperkasakan melalui pemberian kuasa penguatkuasaan kepada DBP pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021.
Dalam pada itu, Awang berkata, pindaan ketiga berkaitan dengan peruntukan yang membolehkan DBP menubuhkan perbadanan agar fungsi perniagaan DBP dapat digerakkan dengan lebih berkesan.
“Sebagai badan berkanun, DBP hanya menerima peruntukan emolumen daripada kerajaan dan perlu menjanakan pendapatan untuk melaksanakan program perancangan bahasa, persuratan dan penerbitan.
“Dengan kelulusan pindaan itu, DBP dapat menyumbang kepada kerajaan dalam aspek kewangan negara.” ujarnya.
Pada masa sama, beliau berkata, DBP yakin bahawa iltizam kerajaan dalam usaha mengangkat bahasa dan persuratan Melayu di peringkat negara dan antarabangsa menjadi asas penting pelaksanaan dasar bahasa kebangsaan sebagai salah satu dasar utama negara.
“Di samping itu, kesungguhan Perdana Menteri untuk melaksanakan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa urusan rasmi di peringkat antarabangsa dapat meningkatkan imej dan maruah negara di mata dunia.
“Semoga iltizam Perdana Menteri disertai oleh semua pemimpin lain,” jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!