'Mahu atau tidak kena terima...'
PENGENDALI Kuching City FC, Irfan Bakti Abu Salim mengakui permulaan musim Liga Malaysia (Liga-M) 2022 sungguh mencabar apabila terpaksa berdepan penundaan perlawanan sekali lagi susulan penularan Covid-19.
Seramai 18 pemain dan pegawai kelab Kepulauan Borneo itu dijangkiti Covid-19 sejak Jumaat sekali gus menyaksikan perlawanan Kuching City menentang Terengganu FC II dan satu lagi berdepan Selangor FC 2 terpaksa ditunda.
Irfan antara yang dijangkiti Covid-19 tidak menolak situasi tersebut menguji mental dan fizikal para pemain memandangkan pasukan masih belum menghadapi sebarang perlawanan kompetitif sejak aksi sepak mula pada awal Mac.
“Mula-mula pada awal Mac apabila tunda perlawanan, kita akur cuma apabila ramai lagi positif, nak buat macam mana terpaksa terima. Kami pun sebenarnya dah bosan apabila tiga bulan hanya berlatih dan tak boleh nak mula perlawanan sebenar disebabkan Covid-19.
“Jadi memang mencabar apabila kita dah berlatih dan sekarang positif pula termasuklah saya cuma kami pun tak sangka boleh positif sebab memang tiada gejala yang teruk pun.
“Tetapi, mahu atau tidak kena terima dan saya akan pastikan kami tetap melakukan rutin latihan dalam talian manakala yang mana tidak dijangkiti, berlatih seperti biasa,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!