Kembali ke gelanggang politik untuk masa hadapan negara
SHAH ALAM - Bekas Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli mengambil keputusan untuk kembali menyertai gelanggang politik adalah supaya Pakatan Harapan (PH) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) khususnya kembali progresif demi masa hadapan negara.
Menurut Rafizi, pendekatan yang dibawa dalam parti sebelum ini perlu dipertahankan dalam mengatasi cabaran yang dihadapi akan datang.
Tambahnya, apabila berlaku beberapa siri Pilihan Raya Negeri (PRN), politik di Malaysia sudah menjadi banyak saingan lebih daripada tiga penjuru.
“Kita ada Barisan Nasional, Perikatan Nasional dan PH, selalunya dalam dinamik politik gabungan yang lebih daripada dua, pilihan raya akan tertumpu kepada dua gabungan teratas.
“Kalau sesuatu itu menjadi gabungan ketiga, pengundi atas pagar hanya memilih dua yang teratas. Kita perlu berhati-hati sama ada PH itu masih menjadi gabungan dua teratas atau terpelanting menjadi tempat ketiga.
“Sebab jika terpelanting ke tempat ketiga, kesannya kepada politik negara ialah akan dimonopoli dua gabungan yang tiada beza pembawaan kepada rakyat.
“Jika tidak rakyat terutama pengundi atas pagar, hanya ada pilihan dua itu sahaja dan ia tidak akan membantu,” katanya dalam sesi ‘Terus Terang Edisi Terpaling’ menerusi Facebook pada Sabtu.
Program tersebut turut menampilkan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar, manakala Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Nor selaku moderator.
Mengulas lanjut, Rafizi berkata, PH sebenarnya telah kehilangan pengundi atas pagar berdasarkan siri pilihan raya sebelum ini.
“Sebab itu bukan lagi soal strategi dan beberapa kesilapan tetapi ia lebih dalam lagi melibatkan soal naratif.
“Kalau ini tidak diperbetulkan, maknanya masuk Pilihan Raya Umum akan datang, PH akan berada di tempat ketiga.
“Saingan itu hanya akan berlaku pada BN dan PN. Jika terus berlaku, ini akan menjadi pertembungan individu dan akan menyebabkan kelesuan politik,” ujarnya.
Dalam pada itu, Rafizi berkata, beliau menyertai PKR disebabkan yakin dengan idea dan gagasan politik pelbagai kaum yang progresif dibawa oleh parti.
“Saya tidak kata PKR sahaja yang memonopoli ke arah itu, malah saya bimbang sekiranya parti tidak berubah dengan cepat, ruang itu akan diambil oleh parti-parti lain.
“Ini kerana rakyat sudah buka mata bahawa parti pelbagai kaum yang ditunjangi oleh Melayu di negara ini boleh berkembang baik,” katanya.
Jelas beliau, intipati PKR tidak berubah yang menyebabkannya kekal memilih parti tersebut berbanding mewujudkan parti baharu.
“Kalau saya buat parti tanpa saya cuba menyumbang, memperbetulkan tanpa menguatkan PKR, itu maksudnya politik itu untuk diri saya bukan atas mendukung gagasan idea yang dibawa oleh parti.
“Saya masuk gelanggang kali ini ialah untuk mempertahankan gagasan politik pelbagai kaum yang mencerdikkan rakyat yang saya sudah mula sejak 20 tahun lepas,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!