Masih bimbang sekolah ditutup lagi

Siti Khadijah memilih pakaian untuk anaknya sebagai persediaan kembali ke sekolah pada Isnin ini.
Siti Khadijah memilih pakaian untuk anaknya sebagai persediaan kembali ke sekolah pada Isnin ini.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Menjelang pembukaan sesi persekolahan bagi tahun 2022 pada Isnin ini, ibu bapa semakin sibuk membuat persiapan membeli pakaian dan keperluan persekolahan anak mereka.

Rata-rata ibu bapa yang ditemui menyatakan mereka hanya membeli pakaian dan barang persekolahan anak yang perlu sahaja kerana bimbang sesi persekolahan singkat akibat penutupan sekolah yang terpaksa dilakukan bagi membendung Covid-19.

Suri rumah, Nur Faizah Hamzar, 41, berkata, persediaan persekolahan untuk anak-anak tetap dibuat walaupun sesi persekolahan sebelum ini dilakukan secara sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

“Saya ada enam orang anak. Hari ini saya beli pakaian sekolah untuk anak kedua, Muhammad Afiq Syazwan Bin Sharizal, 15.

“Saya beli sehelai sahaja. Risau juga kalau tiba-tiba sekolah ditutup akibat Covid-19. Apa pun saya tetap membuat persiapan awal untuk anak-anak kembali ke sekolah,” katanya.

Suri rumah, Khadijah Othman, 35, pula membuat persiapan untuk tiga orang anaknya berusia 12 dan 11 tahun termasuk anak bongsu berumur lima tahun yang akan masuk sekolah tadika.

“Sebelum ini memang kami tidak buat persiapan memandangkan sesi persekolahan berlangsung secara PdPR dan sekolah pula secara penggiliran, jadi masa yang berbaki beberapa hari lagi ini, harap dapat selesaikan semua urusan anak-anak.

“Saya biasa membeli dua pasang pakaian sesi pagi dan untuk sekolah agama, sementara keperluan lain menggunakan pakaian lama yang masih elok,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Pengurus Operasi Pasaraya Econsave, Mas Imran Adam berkata, harga kelengkapan sekolah pada tahun ini tidak banyak berbeza berbanding pada tahun lalu.

“Ibu bapa sudah mula membuat persiapan awal dengan membeli barang keperluan sekolah anak seperti pakaian, alat tulis dan beg sekolah.

“Malah, kami juga telah mengadakan promosi kembali ke sekolah juga sejak penghujung Februari,” jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!