PKNS sasar bina 1,000 unit Rumah Selangorku setiap tahun
GOMBAK - Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menyasarkan sebanyak 1,000 unit Rumah Selangorku (RSKU) dibina di seluruh negeri itu setiap tahun.
Ketua Pegawai Eksekutif PKNS, Datuk Mahmud Abbas berkata, pihaknya sentiasa mencari peluang untuk bekerjasama dengan pihak pemaju yang menggunakan teknologi terkini dalam industri pembinaan.
Menurutnya, setakat ini, sebanyak 882 unit rumah RSKU di Cyberjaya, Sepang dibina menggunakan teknologi 'Industrialised Building System' (IBS), yang mana komponen rumah tersebut dibina di kilang sebelum dihantar ke tapak pembinaan bagi tujuan pemasangan.
"Teknologi IBS melibatkan pembinaan komponen rumah di kilang, bukan di bawah panas terik seperti kaedah pembinaan konvensional yang lebih terdedah kepada risiko keselamatan.
"Jadi selepas dihasilkan di kilang, ia dihantar ke tapak binaan dan dipasang di lokasi itu seperti pasang siap," katanya ketika Majlis Pelancaran Unit Pangsapuri Bayu Residensi dan lawatan tapak ke Unit Rumah Selangorku (RSKU) di Seri Temenggung, Batu Caves, di sini pada Sabtu.
Mengulas lanjut, Mahmud berkata, teknologi sama turut digunakan untuk menyiapkan 420 unit rumah RSKU di Seri Temenggung, Batu Caves di sini dengan gabungan sistem 'formwork'.
Beliau yang teruja ketika melawat tapak pembinaan unit rumah berkenaan percaya bahawa projek tersebut mampu menjadi salah sebuah rancangan perumahan yang berjaya di kawasan sekitar sini.
"Kami di PKNS sebagai tunjang industri hartanah memang ingin bekerjasama dengan pihak-pihak yang menggunakan teknologi sebegini supaya industri pembinaan dapat berkembang.
"Tapi saya harap dengan adanya teknologi baharu dan pihak berkepentingan, kita boleh bina lebih banyak lagi rumah untuk rakyat Selangor," katanya.
Dalam pada itu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari memuji inisiatif pihak pemaju projek pembinaan RSKU di Seri Temenggung, Batu Caves, di sini iaitu Kumpulan Syarikat Melati Ehsan yang menyediakan harga unit rumah di bawah harga RM300,000
Ujarnya, hasil kreativiti pemaju tersebut membantu pembeli membuat pilihan dan meningkatkan permintaan perumahan di negeri tersebut.
"Baru-baru ini selepas Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) membuat bancian secara dalam talian dan fizikal, kita dapati penduduk di Selangor ada 7 juta orang, ada peningkatan sebanyak setengah juta dalam tempoh lima tahun selepas kali terakhir bancian dibuat pada tahun 2015 dan 2016.
"Jadi kami sangat yakin semua unit dapat dijual dan saya dimaklumkan blok pertama habis terjual jadi kita masih menunggu blok kedua dan ketiga," katanya,
Sebanyak 1,240 unit Pangsapuri Bayu Residensi dan 420 unit RSKU dibina di atas tanah milik PKNS seluas 3.97 hektar di Seri Temenggung, Batu Caves di sini dirasmikan oleh Amirudin pada Sabtu.
Pengerusi Eksekutif Kumpulan Melati Ehsan, Tan Sri Yap Suan Chee berkata, sebanyak 29 keluarga setinggan di tapak tersebut turut menerima surat tawaran bagi pembelian RSKU dengan harga diskaun iaitu sebanyak RM65,000 seunit berkeluasan 83.61 meter persegi, selain bayaran saguhati pengosongan tapak sebanyak RM1,000.
Katanya, surat tawaran tersebut diserahkan kepada keluarga-keluarga tersebut dalam satu majlis penyerahan pada Jun tahun lalu yang turut dihadiri oleh Amirudin.
"Projek pembangunan RSKU dijangka siap pada hujung tahun ini, manakala Pangsapuri Bayu Residensi pula bakal siap menjelang tahun 2025
"Sehingga kini, Blok 1 Bayu Residensi telah mencapai 100 peratus jualan dan Blok 2 telah dibuka untuk jualan," katanya.
Unit rumah Bayu Residensi di Seri Temenggung, Batu Caves di sini merupakan pembangunan mampu milik dijual dari harga RM225,000.00 yang turut mempunyai kawalan keselamatan sistem kamera litar tertutup (CCTV) dengan 37 jenis kemudahan komuniti seperti kolam renang, gimnasium, taman permainan kanak-kanak, surau, dewan serbaguna dan lain-lain.
Projek tersebut terletak di lokasi strategik dengan kemudahan rangkaian jalan raya utama perbandaran penting seperti Lebuh Utama Seri Gombak, Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) dan Lebuhraya Duta-Ulung Kelang (DUKE).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!