Panik tiada lesen, wanita pecut kereta langgar 'signboard’
SEREMBAN - Gara-gara panik melihat kehadiran Unit Kereta Peronda (MPV) polis, seorang wanita bertindak memecut laju kereta Proton Saga dipandu sebelum melanggar papan tanda jalan raya di sebuah kedai serbaneka di Taman Ampangan di sini pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, pemeriksaan mendapati suspek berusia 26 tahun bertindak demikian kerana tiada lesen memandu kelas D.
"Anggota MPV yang membuat rondaan jam 1.20 pagi melihat sebuah kereta dinaiki suspek telah berhenti dalam keadaan mencurigakan.
"Semasa hendak membuat pemeriksaan, dengan tiba-tiba kenderaan tersebut memecut laju ke arah Jalan Seremban-Kuala Pilah," katanya dalam kenyataan kepada media pada Sabtu.
Menurutnya, polis telah mengekori kenderaan berkenaan namun secara tiba-tiba suspek telah memperlahankan kenderaan dan memandu secara mengundur ke belakang lalu melanggar papan tanda jalan raya sebelum masuk ke dalam parit.
"Pemeriksaan mendapati kenderaan tersebut dipandu oleh seseorang wanita berusia 26 tahun yang tiada lesen memandu kelas D.
"Pemeriksaan lanjut di dalam kenderaan itu tidak menemui apa-apa barang yang menyalahi undang-undang," katanya.
Sementara itu video kejadian berkenaan turut tular di media sosial Tiktok.
Video itu memaparkan kenderaan MPV Polis dengan ayat "Apa kes malam tadi di Ampangan Seremban. Polis evo live depan mata. Terbaik PDRM. Polis dah block dia. Dia reverse dentum signboard. Pastu dah lari patah balik angkat tangan serah diri. Tengok macam budak. Apa kes tak tau".
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!