Sultan Sallehuddin titah lindungi alam sekitar demi ekosistem

Sultan Sallehuddin menyeru agar kerajaan negeri dapat mengawal dan mengekalkan kawasan hutan menerusi amalan pengurusan hutan secara berkekalan.
Sultan Sallehuddin menyeru agar kerajaan negeri dapat mengawal dan mengekalkan kawasan hutan menerusi amalan pengurusan hutan secara berkekalan.
A
A
A

ALOR SETAR - [DIKEMAS KINI] Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah menyeru agar kerajaan negeri dapat mengawal dan mengekalkan kawasan hutan menerusi amalan pengurusan hutan secara berkekalan.

Baginda bertitah, gangguan manusia secara keterlaluan terhadap sifat-sifat semula jadi alam serta aktiviti manusia yang menggunakan sumber alam untuk kepentingan perniagaan secara rakus mengakibatkan dunia pada hari ini menghadapi pelbagai bencana yang kian meningkat.

Sultan Sallehuddin bertitah, perlindungan dan kelestarian alam sekitar mestilah diutamakan bagi menjaga ekosistem untuk pelbagai spesis flora dan fauna.

"Selain itu, kawasan yang berpotensi untuk diiktiraf sebagai Geopark hendaklah dikekalkan dan dipelihara.

"Inisiatif-inisiatif ini ada dijelaskan di dalam Teras 6 kemampanan Alam Sekitar di bawah Pelan Pembangunan Kedah 2035," titah Sultan Sallehuddin sempena Istiadat Perasmian Pembukaan Sidang DUN Kedah Ke-14 di Istana Anak Bukit, di sini, yang berlangsung secara dalam talian menerusi Facebook pada Ahad.

Tambah baginda, kerajaan negeri telah mengisytiharkan Jumaat sebagai Hari Kebersihan Negeri Kedah selaras dengan Pelancaran Agenda Nasional Malaysia Sihat yang bertujuan untuk membudayakan gaya hidup sihat dan kelestarian persekitaran bagi rakyat Malaysia amnya, dan negeri Kedah khususnya.

"Lanjutan daripada itu, pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu mengambil inisiatif agar dapat menjadikan kebersihan sebagai satu budaya di kalangan masyarakat," titah Sultan Sallehuddin.

Sehubungan itu, baginda berpesan sikap dan mentaliti masyarakat terhadap budaya menjaga kebersihan harus ditingkatkan melalui penglibatan semua pemimpin masyarakat.

Artikel Berkaitan:

Melangkah ke hadapan, Sultan Sallehuddin juga ingin menasihatkan kepada semua pihak untuk mengamalkan demokrasi bermusyawarah dalam mencari penyelesaian kepada apa jua permasalahan.

"Kematangan seperti inilah yang diperlukan oleh seluruh rakyat beta. Ambilah nasihat pepatah Melayu lama yang berbunyi, 'biduk lalu, kiambang bertaut'," titah Sultan Sallehuddin.

Baginda mengingatkan perpaduan yang utuh merupakan asbab dan kekuatan kepada sesebuah ketamadunan.

"Hormatilah prinsip Demokrasi Raja Berpelembagaan yang menjadi asas pembentukan negara," titah baginda.

Sultan Sallehuddin turut bertitah melalui perpaduan, kesepakatan dan kebersamaan yang erat bagaikan sebuah keluarga akan dapat mengharungi pelbagai cabaran dan dugaan yang bakal ditempuhi.

Baginda amat menghargai segala usaha berterusan oleh pihak kerajaan negeri dalam melaksanakan pelbagai strategi bagi menangani pandemik Covid-19.

"Beta menyeru supaya kita jangan cepat leka dan berpuas hati oleh kerana terdapat kemunculan varian baharu Omicron yang lebih mudah merebak, " titah Sultan Sallehuddin.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!