OKU maut rumah terbakar
SUNGAI PETANI - Seorang orang kurang upaya (OKU) cacat penglihatan maut apabila rumah terbakar di Taman Cengal Jaya, Sungai Petani kira-kira 12.12 tengah hari.
Saudara mangsa, Rohayu Johari, 49, ketika itu keluar bekerja pada jam kira-kira 8.30 pagi sebelum menerima panggilan telefon dari anaknya, Mohd Azim Abdul Wahab, 21, yang turut berada dalam rumah ketika kejadian.
Rohayu yang juga merupakan Naib Ketua Wanita PKR Kedah berkata, dia bergegas pulang ke rumahnya sebaik menerima panggilan.
"Selepas sampai rumah, saya nampak lengan dia melecur, ambulan dah angkat dia dan terus bergegas ke hospital manakala Azim melecur sikit di kepala.
"Setelah bertarung nyawa, doktor mengesahkan mangsa meninggal dunia.
"Banyak sangat kenangan kami bersama sebab dia seorang yang mudah dijaga.
"Saya terkilan sebab tak dapat jumpa buat kali terakhir kerana pagi tadi, saya keluar macam biasa, selalunya depa bangun awal tapi pagi tadi rasanya dia dan Azim tak bangun tidur lagi," katanya.
Menurut Rohayu, Mansor yang cacat penglihatan pandai mengambil hati keluarga dengan aksi mencuit hati, tidak mempunyai sebarang penyakit dan diambil tinggal bersama keluarganya sejak beberapa tahun lalu.
"Masih teriyang-iyang gelagatnya bersama kami, biarpun mata tak nampak tapi ALLAH bagi kelebihan kepadanya bijak mengaji, menyanyi dan menari sehingga menjadi penghibur kami sekeluarga," katanya.
Mansor yang dianggap seperti bapa sendiri menjadi penghibur suka dan duka kerana telah tinggal bersama keluarganya sejak 2013.
Mansor dilaporkan meninggal dunia selepas terperangkap setelah rumah mereka terbakar manakala Mohd Azim yang berjaya menyelamatkan diri melecur di bahagian kepala.
ADUN Sidam, Dr Robert Ling turut menziarahi mangsa di Bahagian Forensik Hospital Sultan Abdul Halim Sungai Petani.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!