'UMNO mahu apa lagi, mereka sudah ada Perdana Menteri'
KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Selayang, William Leong Jee Keen melontarkan persoalan kepada UMNO mengenai apa sebenarnya kemahuan parti itu mendesak agar Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) segera diadakan.
Beliau berkata, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebelum ini bertitah agar ahli politik di negara ini memberi fokus kepada usaha menjaga kepentingan rakyat.
"Malah ketika (Datuk Seri) Ismail Sabri (Yaakob) dilantik menjadi Perdana Menteri, Agong turut bertitah, penting untuk menjaga kestabilan dan memberi tumpuan kepada ekonomi ketika krisis (Covid-19).
"UMNO hendak apa lagi, mereka sudah ada Perdana Menteri, sudah ada menteri, desak PRU15 segera diadakan bukan lagi untuk rakyat atau UMNO tetapi hanya untuk manfaat individu-individu tertentu," katanya kepada Sinar Harian.
Pada Sabtu, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pekan, Datuk Mohd Nizar Najib dilaporkan berkata, PRU15 perlu disegerakan berikutan momentum UMNO, Barisan Nasional berada di tahap positif selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Melaka.
Beliau dalam masa sama berkata, UMNO perlu mengambil kesempatan terhadap perpecahan yang berlaku dalam kalangan pembangkang, yang dilihat sukar untuk bekerjasama dalam masa terdekat susulan kekalahan dalam kedua-dua PRN baru-baru ini.
Dalam pada itu, William berkata, kes Covid-19 ketika ini dilaporkan terus meningkat malah ramai ahli politik termasuk ahli Parlimen serta petugas parti positif Covid-19 ketika berkempen pada PRN Johor.
"Kerana faktor itu juga pengundi tidak keluar dan kita tengok kehadiran keluar mengundi adalah satu angka begitu rendah sekali dan kita faham siapa nak dapat Covid-19 ketika membuang undi.
"Keadaan ini tidak adil kepada rakyat dan ini juga tidak mengikut keadilan demokratik malah prosedur operasi standardnya (SOP) kepada parti bertanding begitu ketat dan cara ini bukan satu pilihan raya yang adil," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!