Kaedah kadar gaji minimum PMKS akan diumum: Awang
PENDANG - [DIKEMAS KINI] Kerajaan akan memperincikan kaedah kadar gaji minimum baharu RM1,500 sebulan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) selepas ia dikuatkuasakan pada 1 Mei depan.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim berkata, perkara itu masih dibincangkan di peringkat kementerian selepas ia diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Sabtu.
Katanya, perkara terbabit belum dapat diputuskan ketika ini memandangkan ia belum dilaksanakan dan baharu sahaja diumumkan.
"Majikan yang macam mana layak tangguh dalam PMKS, berapa pekerja yang mereka ada untuk layak lakukan penangguhan, itu pun kita akan tentukan selepas ini," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Program Jom Masuk TVET@KSM di Dewan Cenderawasih di sini pada Ahad.
Menurutnya, pelaksanaan gaji minimum terbabit memberi banyak manfaat kepada golongan B40 dalam menjalani kehidupan ketika pandemik Covid-19.
"Insya-ALLAH dengan perkembangan ekonomi, majikan juga akan mendapat manfaat setelah semua sektor dibuka.
"Pekerja selesa maka dia akan bekerja dengan lebih baik dan majikan turut menerima pulangan pelaburan atau untung yang lebih baik," katanya.
Awang menambah, kementerian akan mengadakan perbincangan khusus dengan pihak majikan untuk menerangkan mengenai prosedur pelaksanaan terbabit.
Pada Sabtu, kerajaan meluluskan pelaksanaan kadar gaji minimum baharu RM1,500 sebulan bermula 1 Mei ini di seluruh negara.
Bagaimanapun, Ismail Sabri berkata, kerajaan memutuskan untuk menangguhkan terlebih dahulu pelaksanaan kadar baharu gaji minimum itu kepada syarikat, perusahaan kecil dan koperasi yang tidak mampu membayar RM1,500 kepada pekerja mereka.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!