Lupakan dahulu hal PRU15, fokus kepentingan rakyat: Fadillah
BALIK PULAU - Lupakan dahulu Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sebaliknya fokus kepada hal rakyat dan ekonomi negara.
Perkara itu disuarakan Ketua Whip Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Seri Fadillah Yusof supaya mana-mana pihak atau parti sekalipun perlu meletakkan keutamaan rakyat dan negara daripada kepentingan peribadi.
Menurutnya, kepentingan pada waktu ini adalah untuk memastikan krisis kesihatan, ekonomi yang kian mencabar dapat ditangani.
"Kita kena fokus apakah langkah dan strategi yang kita perlu laksanakan supaya kedudukan ekonomi negara akan berada lebih baik.
"Lebih baik kita beri tumpuan dengan menjaga kebajikan rakyat dan ini sepatutnya yang difokuskan oleh setiap ahli politik kita," katanya ketika ditemui selepas meninjau projek pembinaan Jambatan Titi Kerawang di sini pada Ahad.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai gesaan sesetengah pihak supaya PRU15 diadakan dengan lebih awal.
Fadillah yang juga Menteri Kanan Kerja Raya bagaimanapun berkata, keputusan sama ada untuk diadakan PRU15 lebih awal atau tidak, ia adalah di bawah bidang kuasa Perdana Menteri dan perlu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!