K-KOMM digesa tetapkan panduan patuh syariah untuk drama, filem

Hantaran Facebook Dewan Pemuda Pas Malaysia, pada Ahad.
Hantaran Facebook Dewan Pemuda Pas Malaysia, pada Ahad.
A
A
A

SHAH ALAM - Dewan Pemuda Pas Malaysia (DPPM) menggesa Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOMM) menetapkan satu garis panduan patuh syariah untuk penyiaran drama dan filem di Malaysia.

Naib Ketua Pemuda Pas Malaysia, Hanafi Zulkapli berkata, Lembaga Penapisan Filem (LPF) serta badan penapis dalaman stesen televisyen juga hendaklah mematuhi garis panduan itu bagi menapis kandungan filem yang melampau.

"Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sebagai agensi induk hal ehwal Islam di Malaysia harus dilibatkan dalam menetapkan garis panduan ini, serta dilibatkan dalam penapisan filem dalam LPF dan badan penapis dalaman stesen televisyen.

“Islam tidak pernah menghalang atau menyekat hiburan, namun hiburan tersebut mestilah tidak melanggar batas ditetapkan syarak.

“Pemuda Pas menggesa isu ini dipandang serius oleh kerajaan dan semua pihak bagi memastikan generasi pelapis tidak dirosakkan dengan budaya melampau, yang bakal membawa kehancuran buat negara,” katanya menerusi hantaran di Facebook, pada Ahad.

Ia mengenai kontroversi berkaitan pelakon popular, Zul Ariffin yang memuat naik video memaparkan beberapa babak 'panas' dalam drama terbaharu lakonannya berjudul Perempuan Itu di Instagram, pada Sabtu.

Hantaran berkenaan mendapat kecaman daripada netizen serta mendapat perhatian Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad yang menyifatkan ia sebagai melampaui batas.

Tambah Hanafi, Pemuda Pas menggesa suatu tindakan tegas diambil oleh KKMM bagi memastikan perkara tersebut tidak berulang.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, pelakon dan pengarah yang terlibat dalam rakaman babak lucah itu sewajarnya dikenakan tindakan bagi memastikan budaya itu tidak berulang dan menjadi kebiasaan syarikat produksi untuk merakam aksi bertentangan dengan agama Islam dan budaya ketimuran.

“Dewan Pemuda Pas Malaysia menzahirkan rasa kecewa terhadap penyiaran 'footage' sebuah drama Melayu yang bakal ditayangkan stesen televisyen Malaysia, yang memaparkan aksi tidak sopan dan kelucahan melampau melibatkan pelakon-pelakon berbangsa Melayu serta beragama Islam.

“Adegan tersebut jelas bertentangan dengan norma dan budaya masyarakat Malaysia yang menjunjung tinggi kesopanan dan kesusilaan. Sekalipun dikatakan 'footage' tersebut adalah draf rakaman dan tidak akan dimasukkan dalam tayangan drama tersebut, ia tidak menafikan rakaman aksi lucah itu berlaku,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!