Lakshya bermain dengan hebat: Zii Jia

Zii Jia - Foto Badminton Photo
Zii Jia - Foto Badminton Photo
A
A
A

JAGUH perseorangan badminton negara, Lee Zii Jia mengakui kekalahannya kepada pemain India, Lakshya Sen di peringkat separuh akhir Seluruh England pada Sabtu bukanlah berpunca dia beraksi di bawah tekanan.

Sebaliknya, pemain yang menghuni ranking ketujuh dunia itu berkata, kekalahannya kepada Lakshya disebabkan pemain berusia 20 tahun itu beraksi pada tahap luar biasa terutamanya pada set penentuan.

"Pada perlawanan terbabit saya cuba fokus untuk mengutip setiap mata bagi memastikan sentiasa mendahului lawan dan berjaya mengekalkan momentum kemenangan.

"Namun, saya lihat dia (Lakshya) beraksi luar biasa dan cukup bertenaga walaupun pada set penentuan sekali gus layak memenangi perlawanan," katanya.

Terdahulu, hasrat Zii Jia untuk mara ke pentas final Seluruh England sekali gus mempertahankan kejuaraan yang dimenanginya tahun lalu tidak kesampaian.

Pada aksi separuh akhir, jaguh perseorangan profesional negara itu terpaksa akur tewas 13-21, 21-12, 19-21 kepada Lakshya.

Mengulas lanjut mengenai prestasinya sepanjang kejohanan tersebut, pemain kelahiran Kedah itu nyata berpuas hati dengan persembahan yang ditampilkan.

Jelasnya, kini tumpuannya akan terarah pada kejohanan Terbuka Korea dari 5 hingga 10 April di Suncheon dan Piala Thomas sekiranya dipilih untuk menyertai kejohanan berpasukan itu.

Artikel Berkaitan:

“Setakat ini saya berpuas hati dengan prestasi saya. Walaupun kalah di peringkat separuh akhir tapi saya puas pada kejohanan kali ini.

“Selepas ini saya akan fokus untuk Terbuka Korea. Selepas Terbuka Korea saya akan fokus pula untuk Piala Thomas sekiranya dipilih untuk mewakili Malaysia,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!