FAM dah terima surat tunjuk sebab Rizal

Laporan Sukan Sinar pada Rabu lalu. (Gambar kecil: Mohd Saifuddin)
Laporan Sukan Sinar pada Rabu lalu. (Gambar kecil: Mohd Saifuddin)
A
A
A

SELEPAS beberapa hari mengambil pendekatan mendiamkan diri, Rizal Ghazali akhirnya 'membuka mulut' bagi menjelaskan tindakannya menolak pelawaan menyertai kem latihan pusat Harimau Malaya.

Setiausaha Agung FAM, Mohd Saifuddin Abu Bakar berkata, masalah keluarga menjadi punca tonggak pertahanan Sabah FC menolak panggilan menyertai skuad kebangsaan kali ini.

“Kami sudah menerima surat tunjuk sebab daripada Rizal berhubung penolakannya menyertai pasukan kebangsaan pada Jumaat lalu. Rizal memaklumkan dia ada masalah keluarga yang mana terdapat ahli keluarganya yang terdekat sakit.

“Jadi berkemungkinan Rizal tidak akan dapat menyertai pasukan kebangsaan yang akan ke Singapura bagi menghadapi tiga perlawanan persahabatan yang akan bermula pada Rabu ini,” katanya kepada Sukan Sinar pada Ahad.

Sebelum ini, Rizal yang juga bekas pemain Kedah Darul Aman (KDA) FC menolak pelawaan menyertai kem latihan pusat Harimau Malaya di Stadium Nasional, Bukit Jalil yang bermula Isnin lalu bagi menggantikan tempat pertahanan Johor Darul Ta'zim (JDT) Syahmi Safari.

Susulan tindakannya itu, Rizal yang dipanggil pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon pada hari pertama kem latihan pusat tersebut berdepan kemungkinan dikenakan hukuman berat termasuk denda RM25,000 jika gagal memberikan alasan yang kukuh.

Bagaimanapun, Pan-gon telah mengeluarkan kenyataan awalnya berhubung situasi itu yang mana beliau enggan terburu-buru menjatuhkan hukuman, sebaliknya mahu memahami masalah yang dihadapi pemain terlebih dahulu.

Mengulas lanjut, Saifuddin memaklumkan, pihaknya masih belum membincangkan sebarang bentuk tindakan ke atas Rizal yang turut berada dalam skuad Harimau Malaya pada saingan Piala Suzuki AFF 2022 di Singapura tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

“Perkara ini akan dibawa kepada pihak pengurusan pasukan kebangsaan untuk menentukan tindakan selanjutnya. Jadi penilaian akan dibuat berdasarkan alasan yang diberikan Rizal dalam suratnya itu,” jelasnya.

Pada Sabtu, Rizal dalam perkongsian terbaharu di Instagram miliknya telah memuat naik gambar keadaan seorang lelaki yang dipercayai bapanya sedang terlantar sakit di sebuah hospital.

Dalam hantaran yang disertai #ayah itu, Rizal menulis: “Semoga sihat seperti biasa, jauh mana pun tetap anakmu berdoa.”

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!