Pendekatan Pan Gon mampu bawa Harimau Malaya pergi jauh
PEMAIN kelab Liga Belgium KV Kortrijk Luqman Hakim Shamsudin merasakan pendekatan corak latihan diterapkan ketua jurulatih skuad kebangsaan Kim Pan Gon berupaya membantu meningkatkan tahap prestasi barisan pemain negara.
Ia selepas penyerang muda sensasi negara berusia 20 tahun itu merasai perubahan dibawa Pan Gon menerusi intensiti latihan tinggi selain beberapa perkara baharu dipelajarinya yang disifatkan sebagai ‘benda luar biasa’.
Walaupun tidak menjelaskan bentuk ilmu yang sudah 'diturunkan' itu, Luqman Hakim berkata, ia satu petanda positif dan dapat dilihat daripada reaksi dan kegembiraan rakan sepasukannya terhadap sesi latihan dikendalikan jurulatih dari Korea Selatan itu.
"Insya-Allah kita (pasukan negara) akan maju. Dengan cara latihan dan dengan intensiti yang tinggi saya rasa kita boleh pergi jauh," katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Bagaimanapun, Luqman Hakim berkata, beliau juga banyak belajar ketika di bawah bimbingan bekas ketua jurulatih Tan Cheng Hoe.
Menurutnya, setiap jurulatih mempunyai kelebihan masing-masing dan barisan pemain negara perlu memanfaatkan segala peluang selain mengambil seberapa banyak ilmu dicurahkan mereka.
"Lain jurulatih lain caranya jadi kita sebagai pemain hanya ambil untuk tambahkan ilmu, jurulatih baharu kita ambil (ilmu) dan jurulatih terdahulu pun kita ambil untuk tambahkan ilmu," katanya.
Sementara itu, Luqman Hakim berazam menampilkan persembahan terbaik bersama skuad kebangsaan pada saingan Tiga-Negara FAS 2022 di Singapura bermula minggu depan bagi menebus kekecewaan terhadap prestasinya pada Kejuaraan Piala AFF di Singapura Disember tahun lepas.
Skuad kebangsaan dijadual berlepas ke Singapura pada Selasa depan bagi memulakan saingan Siri Tiga-Negara FAS menentang Filipina (23 Mac) dan skuad tuan rumah (26 Mac) pada aksi Persahabatan Antarabangsa Tier 1.
Pasukan bimbingan Pan Gon akan menamatkan siri perlawanan persahabatan di Singapura yang juga persediaan menghadapi Kelayakan Piala Asia 2023 pada Jun, dengan bertemu kelab tempatan Albirex Niigata FC dalam aksi tertutup pada 28 Mac ini. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!