Jakim jumpa K-KOMM bincang adegan 'panas' 'Perempuan Itu'
KOTA BHARU - [DIKEMAS KINI] Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan mengadakan pertemuan dengan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOMM) bagi membincangkan isu berkait adegan 'panas' yang dilakonan oleh Zul Ariffin serta Siti Hariesa dalam drama Perempuan Itu.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, adegan itu dilihat bercanggah dengan tuntutan agama Islam dan budaya hidup masyarakat di negara ini.
"Cuma dari sudut panduan agama (Islam) budaya seperti itu tidak sepatutnya dibawa masuk ke negara ini yang berpegang teguh kepada ajaran Islam dan budaya timur" katanya selepas diminta mengulas lakonan panas antara Zul Ariffin bersama Siti Hariesa dalam drama Perempuan Itu di sini pada Ahad.
Sebelum itu beliau hadir ke Kejohanan Muay Thai Kebangsaan di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (PUTIK) Pengkalan Chepa.
Menurutnya, seluruh pemain industri drama dan filem serta hiburan di negara ini perlu sentiasa peka dengan perkara ini.
Beliau berkata, perkara tersebut telah menimbul keresahan dalam kalangan masyarakat di negara ini.
Ahli Parlimen Pengkalan Chepa itu berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan perkara itu akan menjadi ikutan sekiranya gagal ditangani dengan sebaik mungkin.
Pada Sabtu, menerusi perkongsian di Instagram, pelakon berusia 35 tahun itu dilihat mendukung seorang pelakon wanita yang sedang meningkat naik, Siti Hariesa dan aksi mereka dianggap keterlaluan serta tidak sesuai untuk ditayangkan secara umum.
Lebih panas, apabila adegan Hariesa menyuap ‘whipping cream’ ke arah mulut Zul sambil menggerakkan tubuhnya dengan gaya mengghairahkan turut disamakan seperti babak dalam sebuah filem lucah oleh orang ramai.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!