Peratusan keluar mengundi tidak seperti diharapkan
SHAH ALAM - Walaupun buat pertama kalinya pengundi muda yang berusia 18 hingga 20 tahun dibenarkan mengundi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac lalu tetapi kadar peratusan keluar mengundi terutama bagi pemilih muda tidak seperti yang diharapkan.
Penganalisis politik Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr Sivamurugan Pandian berkata, daripada 54.92 peratus keseluruhan yang keluar mengundi yang direkodkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), peratusan pengundi muda dianggarkan hanya di bawah lima peratus.
Katanya, jumlah itu sangat kecil daripada jumlah keseluruhan 173,177 jumlah pengundi muda yang didaftarkan di negeri berkenaan walaupun pada peringkat awal diuar-uarkan bahawa ramai yang berkobar-kobar untuk keluar mengundi.
“Antara faktor keadaan ini berlaku mungkin disebabkan rasa protes anak muda terhadap keadaan politik negara dan mereka beranggapan kalau mereka sokong mana-mana parti pun keadaan negara tetap sama.“Mereka berfikiran begitu mungkin dipengaruhi oleh interaksi dengan orang tua mereka dan orang sekeliling. Kalau mereka dapat informasi yang tidak menarik sebegitu, sudah pasti mereka fikir buang masa sahaja keluar mengundi,” katanya kepada Sinar Harian.
Sivamurugan menegaskan, anak muda yang berusia 18 hingga 20 tahun sudah matang untuk berfikir dan disebabkan itu mereka juga mengambil pendirian politik sendiri yang dipengaruhi banyak faktor di sekeliling mereka.
Selain itu, ujar beliau, anak muda juga dipengaruhi ibu bapa dan rakan sebaya yang mana jika kedua-dua golongan itu tidak keluar mengundi, mereka juga tidak akan keluar mengundi.
“Pada peringkat awal dijangkakan rakan sebaya akan memainkan peranan untuk pengundi 18 ini keluar mengundi sama seperti kalau rakan minat Korea Pop (K-Pop), rakannya pun akan minat, tetapi dalam PRN Johor, situasi itu tidak berlaku.“Selain itu informasi yang sampai kepada golongan pengundi 18 ini juga mempengaruhi mereka. Mungkin mereka merasakan manifesto yang diketengahkan mana-mana parti tidak memenuhi kemahuan dan keperluan mereka seolah-olah pihak berwajib tidak membaca pemikiran mereka,” jelasnya.Kemahuan
Sivamurugan berkata, berkemungkinan juga calon yang dipilih parti di sesuatu kawasan tidak memenuhi kemahuan orang muda seperti mereka tidak nampak calon itu sebagai seseorang yang boleh diteladani dan dijadikan contoh, di mana ia mungkin disebabkan pengaruh perang psikologi, keluarga, kawan dan sebagainya.
Katanya, terdapat juga kemungkinan golongan muda tidak mengetahui mereka telah didaftarkan secara automatik sebagai pemilih menyebabkan mereka tidak turun membuang undi pada hari pengundian.
Justeru bagi menangani keadaan itu, Sivamurugan menyarankan kesedaran politik perlu diwujudkan dalam kalangan rakyat seawal usia 13 tahun supaya mereka mengambil bahagian dalam pilihan raya dengan turun mengundi.
“Kewajipan keluar mengundi bukan untuk menyokong mana-mana parti atau menyokong mana-mana ideologi tetapi mereka perlu tahu hak dan tanggungjawab mereka bagi membolehkan negara maju ke hadapan. Literasi dan celik politik ini sangat penting selepas pasca PRN Johor ini,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!