Piala FA: Liverpool, Manchester City berentap separuh akhir

Jota pencetak gol tunggal Liverpool ketika berkunjung ke City Ground berdepan Nottingham Forest dalam aksi kelompok lapan terbaik Piala FA.
Jota pencetak gol tunggal Liverpool ketika berkunjung ke City Ground berdepan Nottingham Forest dalam aksi kelompok lapan terbaik Piala FA.
A
A
A

JARINGAN tunggal Diogo Jota membolehkan Liverpool mara ke separuh akhir Piala FA selepas menewaskan kelab Liga Kejuaraan, Nottingham Forest 1-0 dalam aksi kelompok lapan terbaik di City Ground.

Kemenangan itu menyaksikan The Reds akan berentap menentang pendahulu Liga Perdana Inggeris, Manchester City yang menyingkirkan cabaran Southampton 4-1 di Stadium St Mary's.

Tuan rumah yang sebelum itu menyingkirkan kelab Liga Perdana Inggeris seperti Arsenal dan Leicester City dalam meniti fasa ke separuh akhir ternyata lebih agresif berbanding pelawat pada babak pertama.

Forest pimpinan Steve Cooper yang kini berada di kedudukan kelapan liga memiliki deretan peluang merobek gawang anak buah Jurgen Klopp, namun ketumpulan penyudah Joe Lolley terutamanya sering menjadi penghalang.

Ketika kemenangan merupakan sesuatu yang wajar buat The Reds, apabila memiliki tujuh percubaan tepat berbanding satu Forest, Jota tampil menyudahkan hantaran Konstantinos Tsimikas pada minit ke-78' sekali gus menempah slot kelompok empat terbaik kejuaraan tersebut.

"Ia jelas satu perlawanan yang sukar. Forest sebuah pasukan yang hebat dan bermain dengan penuh intensiti sekali gus memberi kami pertarungan yang sewajarnya.

"Mereka memberi kami cabaran sengit, selain para penyokong mereka sangat cemerlang. Namun kami akhirnya berjaya berada di separuh akhir.

"Ya, Manchester City merupakan satu lagi lawan yang sukar, dan seperkara lagi kami perlu berdepan juga lawan lain sebelum berdepan Manchester City," kata Jota.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!