Penjawat awam bukan kuli: Presiden Cuepacs
SHAH ALAM - Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Azih Muda mendedahkan ada penjawat awam terpaksa melakukan banyak kerja sehingga menyebabkan mereka tertekan.
Menurutnya, penjawat awam bukanlah kuli dan meskipun mereka pekerja bawahan namun ramai daripada mereka memiliki kelulusan tinggi.
“Kita sebut dari segi beban kerja umpamanya. Ada hospital, kakitangannya kena bekerja tiga syif, tak stress ke kalau macam itu? Stress sebenarnya.
ARTIKEL BERKAITAN: Penjawat awam tertekan: Maszlee jumpa Cuepacs
“Kerajaan perlu juga melihat kepada indeks kelestarian penjawat awam. Mereka bukanlah kuli,” katanya.
Menurutnya, beliau pernah berjumpa dengan penjawat awam dan ada mengadu terpaksa membawa pulang kerja mereka ke rumah untuk disiapkan.
“Saya pergi lawat jabatan kerajaan, saya tengok muka mereka nampak tertekan. Ada kata kena bawa kerja balik ke rumah kemudian bawa semula ke pejabat. Tiada kesudahan.
“Adakah dalam keadaan seperti ini kita nak kata jumlah penjawat awam ramai,” tegas beliau.
Beliau berkata demikian ketika menjadi panelis dama Wacana Sinar Siri Ke-96 bertajuk ‘Penjawat Awam Terlalu Ramai?’ di Dewan Karangkraf, di sini, petang tadi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!