Pas Sabah nafi tidak mendapat tempat di Sabah

Aliakbar
Aliakbar
A
A
A

KOTA KINABALU - Setiausaha Pas Sabah, Dr Aliakbar Gulasan menafikan parti itu tidak mendapat tempat di hati rakyat di negeri ini.

Sebaliknya beliau berkata, Pas Sabah sebenarnya sudah berjaya membantu masyarakat dengan ilmu menerusi pembinaan sekolah-sekolah agama di negeri ini.

"Kita di peringkat Negeri secara prinsipnya cuma kalah dari segi politiknya iaitu dalam pilihan raya, kita bukan hanya bertapak untuk memenangi pilihan raya tetapi sebaliknya dalam pendidikan.

"Tadika Islam kita (Sabah) ada lebih 100 sekolah, sekolah rendah ada lebih 10 sekolah manakala sekolah menengah kita mula bangunkan dan kita bantu masyarakat dengan ilmu tanpa ada prejudis dengan mana-mana pihak serta tanpa unsur politik," katanya kepada pemberita di sini, pada Ahad.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pandangan Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal baru-baru ini yang mengatakan bukan mudah untuk partinya bertapak di Semenanjung berikutan kekalahan teruk pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan seterusnya memberikan contoh Pas sendiri tidak pernah memenangi sebarang kerusi sejak bertapak di Sabah.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dilantik itu lagi, pilihan raya hanya sebahagian kecil daripada misi mereka namun kerja kebajikan dan dakwah akan terus menjadi tumpuan utama.

"Saya fikir ini perbezaan kita dengan parti-parti lain. Saya selalu sebutkan, parti lain hanya mengira jumlah kerusi yang mereka menang untuk masuk ke Dewan Undangan Negeri (DUN), kita kalah atau menang itu suatu perkara yang kecil.

"Tetapi bagaimana kita mahu membangunkan sumber manusia dengan pendidikan itu yang penting dan sekarang Pas sudah bertapak, sudah cukup kuat walaupun kita tidak tonjolkan namun pendidikan kita bangunkan dan makmurkan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Untuk rekod, Pas pertama kali bertanding di Sabah menerusi Pilihan Raya Umum (PRU) pada 1986 dengan meletakkan calon di tiga kerusi iaitu Parlimen Kimanis, Jambongan dan Kota Belud namun tewas sehingga PRU14 pada 2018.

Pada PRN Sabah yang lalu, Pas tidak meletakkan sebarang calon bagi memberi laluan rakan kerjasama dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!