'Tiada lagi drama tangisan tak mahu ke sekolah'

Nuraini (kanan) dan suami, Izzat Ismail menghantar Adam ke sekolah pada hari pertama persekolahan di SK Shah Alam, Seksyen 16.
Nuraini (kanan) dan suami, Izzat Ismail menghantar Adam ke sekolah pada hari pertama persekolahan di SK Shah Alam, Seksyen 16.
A
A
A

SHAH ALAM - "Kejut sekejap sahaja dah bangun, tiada 'drama' mahupun tangisan tidak mahu ke sekolah, malah anak tidak sabar hendak jumpa kawan-kawan baharunya di sekolah pagi ini".

Demikian luahan penjawat awam, Nuraini Azmi, 31, dari Seksyen 16, Shah Alam yang menguruskan persiapan persekolahan anak sulungnya, Adam Naufal Izzat berusia tujuh tahun pada hari pertama sesi persekolahan bermula.

Menurutnya, ketika berada di tadika, agak sukar untuk dia mengejutkan anaknya ke sekolah, namun kali ini sedikit berbeza apabila anaknya itu bangun seawal jam 6 pagi pada hari pertama ke sekolah rendah.

“Sebelum tidur, malam tadi anak siap tanya dekat saya kelas mana abang akan masuk masa kat sekolah nanti, ramai tak kawan, nak masuk kelas apa dan macam-macam lagi soalan,” katanya.

Nuraini berkata, cabaran hari pertama persekolahan sentiasa ada, namun dia dan suaminya, Izzat Ismail, 31, sentiasa berpesan kepada anak agar sentiasa menjaga diri dalam norma baharu.

“Saya pesan supaya sentiasa pakai pelitup muka dan ikut prosedur operasi standard, belajar elok-elok di sekolah, air jangan kongsi dan jangan gaduh dengan kawan-kawan,” katanya ditemui di luar pekarangan Sekolah Kebangsaan (SK) Shah Alam di Seksyen 16 di sini pada Isnin.

Nurul Wahida (kanan) menenangkan anaknya, Muhamad Fateh pada hari pertama persekolahan.
Nurul Wahida (kanan) menenangkan anaknya, Muhamad Fateh pada hari pertama persekolahan.

Bagi Nurul Wahida Samsuri, 34, pula menyifatkan mentaliti anak-anak pada hari ini jauh berbeza berbanding sebelum ini kerana tiada lagi tangisan yang tidak mahu ke sekolah.

Artikel Berkaitan:

“Alhamdulillah cabaran kali ini lebih mudah, saya sentiasa pesan dan terangkan pada anak, Muhamad Fateh Muhamad Fakri, 7, hari ini dah sekolah dan persekitarannya tidak sama macam di tadika.

“Saya hantar dia turun dan terus masuk ke sekolah, tak perlu tunggu sebab nampak dia gembira dan teruja walaupun hari pertama sekolah,” katanya yang tinggal di kuarters kerajaan di Seksyen 16.

Sementara itu, Mohd Zaki Ali, 38, dari Seksyen 15, berkata, anak perempuannya juga tidak banyak karenah untuk ke sekolah sebaliknya bangun sendiri dan bersiap seawal jam 6.30 pagi.

“Hari ni dia bangun sendiri, tak perlu kejutkan dia walaupun malam tadi lewat tidur, ini terbukti dia tidak sabar untuk mulakan persekolahan baharu di sekolah rendah,” katanya.

Pihak pengurusan SK Shah Alam menyambut kehadiran murid Tahun Satu pada Isnin
Pihak pengurusan SK Shah Alam menyambut kehadiran murid Tahun Satu pada Isnin

Bagaimanapun, Mohd Zaki berkata, dia sentiasa berpesan kepada anaknya bahawa situasi di sekolah rendah berbeza berbanding tadika dan akan ada ramai kawan-kawan baharu dan ramai cikgu.

“Budak zaman sekarang dah tiada situasi menangis, mak ayah dah ajar dan maklum kepada anak-anak sejak awal lagi," jelasnya.

Dalam pada itu, tinjauan Sinar Harian sekitar jam 6.45 pagi di SK Shah Alam pada Isnin mendapati rata-rata ibu bapa tiba lebih awal di pekarangan sekolah untuk menghantar anak-anak mereka.

Ternyata kali ini, murid Tahun Satu sudah bersedia untuk kembali ke sekolah serta mengikuti pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka malah riak wajah ceria mereka jelas kelihatan bagi memulakan hari pertama sesi persekolahan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!