Maskot zirafah sambut murid-murid SK Paya Rumput
MELAKA - Seorang guru pendidikan khas mengambil inisiatif memakai maskot zirafah ketika menyambut kehadiran murid-murid Sekolah Kebangsaan (SK) Paya Rumput di sini pada hari pertama sesi persekolahan.
Mohd Shazreen Salim berkata, setiap kali sesi persekolahan baharu dia akan mengenakan maskot yang dibeli oleh guru besar bagi menceriakan murid-murid terutama murid prasekolah, Tahun Satu dan pendidikan khas.
"Ini adalah salah satu usaha untuk kita memberikan perasaan gembira kepada murid-murid lebih-lebih lagi setelah lama mereka cuti sekolah.
"Rata-rata murid-murid dan ibu bapa memberikan respon positif secara tidak langsung menggalakkan murid-murid datang ke sekolah," katanya yang mengajar 23 murid pendidikan khas.
Bagi pekerja swasta, Shasha Nur Husna Kassim, 37, yang menghantar anak sulungnya berusia tujuh tahun ke sekolah itu berkata, anaknya, Ahmar Faizin Mohd Yusri begitu teruja ke sekolah dan dia serta suami telah membuat persiapan awal dengan membelanjakan kira-kira RM300 bagi membeli pakaian sekolah serta buku.
Menurutnya, pada awalnya dia berasa sedikit bimbang dengan pandemik Covid-19, namun melihat kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan pihak sekolah selain pemantauan guru dapat melegakan hatinya.
"Memandangkan ini pertama kali anak sulung melangkah ke sekolah rendah, jadi saya mengambil cuti untuk menghantarnya.
"Saya lihat guru-guru juga sentiasa memantau murid-murid dan mereka juga diberikan cenderahati bagi menambahkan semangat mereka datang sekolah," katanya.
Sementara itu, suri rumah, Mazliana Md Akhiar, 45, berkata, perbezaan pada kali ini dia tidak dapat menghantar anak bongsu yang berada di Tahun Satu ke bilik darjah berbanding anak-anaknya yang lain sebelum ini.
Menurutnya, dia akur dengan arahan pihak sekolah dalam mengekang penularan Covid-19 dan hanya melihat anaknya masuk ke bilik darjah dari luar pagar sekolah bersama suaminya.
"Saya yakin dan percaya dengan guru-guru yang akan membimbing murid-murid dan memastikan mereka mematuhi SOP yang ditetapkan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!