Harap perkembangan pembelajaran anak lebih baik
KOTA BHARU - Hari pertama pembukaan sesi persekolahan bersemuka bagi tahun 2022/2023 yang berlangsung serentak di seluruh negara pada Isnin diharapkan menjadi rentetan kepada perkembangan pembelajaran anak-anak yang lebih teratur.
Seorang ibu, Norliyanawaty Akhmar Abdul Samad, 37, berkata, semasa Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) yang dijalankan akibat pandemik Covid-19 yang lalu, anaknya yang ketika itu bersekolah di Tahun Satu di Sekolah Kebangsaan (SK) Datu Hashim, Pengkalan Chepa di sini hanya mengenal suku kata.
Katanya, bagaimanapun pada sebulan pembelajaran bersemuka baru-baru ini anaknya sudah dapat membaca dengan lebih lancar.
“Itu yang berbeza PdPR berbanding bersemuka yang mana mereka akan mudah memahami pembelajaran yang diajarkan oleh guru.
“Saya mengharapkan dengan pembukaan semula sekolah secara bersemuka pada hari ini akan membolehkan anak-anak belajar dengan lebih baik dan menjadi pandai,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Isnin.
Seorang lagi ibu, Shazarina Hamidan, 39, berkata, anak lelakinya yang berusia lapan tahun sudah pandai membaca dan tetap teruja untuk ke sekolah walaupun dalam keadaan kekangan menghidap penyakit kencing tidak lawas.
“Dia bangun awal jam 6.15 pagi ini tetapi kami terlambat ke sekolah kerana dia tidak sihat namun dia tetap bersemangat untuk menjalani pembelajaran bersemuka setelah sekian lama PdPR dan bercuti.
“Saya bekalkan dia dengan dengan hand sanitizer dan pelitup muka yang secukupnya bagi mengelakkan jangkitan Covid-19 semasa berada di sekolah,” katanya.
Sementara itu, seorang bapa, Mohd Firdaus Shamsudin, 35, berkata, perasaan gementar anak lelakinya di Tahun Dua pada hari pertama persekolahan pada hari ini sedikit reda apabila disambut dengan tiga maskot watak kartun di pintu masuk SK Datu Hashim, Pengkalan Chepa di sini.
“Anak kedua saya itu risau kerana dia hanya mengenal huruf tetapi belum pandai membaca dan sempat berpesan supaya saya memberitahu gurunya berkaitan hal itu.
“Saya sangat berharap dia dapat memanfaatkan sesi persekolahan bersemuka ini supaya boleh membaca selepas ini berbanding hanya bermain dengan gajet semasa cuti sekolah atau dalam tempoh PdPR,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!