Pemandu mabuk punca 11 cedera restoran dirempuh
KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Gara-gara pemandu mabuk, 11 individu termasuk lapan pelanggan restoran yang sedang menikmati makanan cedera dirempuh kenderaan dalam kejadian di Jalan Klang Lama di sini pada Ahad.
Kemalangan kira-kira jam 9.30 malam itu melibatkan tiga kenderaan dipercayai berpunca daripada pemandu kenderaan utiliti sukan (SUV) Honda HR-V yang gagal mengawal kenderaan dipandunya kerana mabuk.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, pemandu Honda HR-V dipercayai gagal mengawal kenderaannya, lalu merempuh kenderaan yang diparkir di bahu jalan di lokasi kejadian.
"Siasatan awal mendapati suspek berusia 57 tahun itu memandu Honda HR-V dari arah Petaling Jaya menghala ke pusat bandar.
"Kenderaan dipandunya hilang kawalan dan melanggar sebuah kenderaan jenis Lexus 2.5 yang berada di bahu kiri jalan.
"Akibat pelanggaran tersebut, Lexus 2.5 itu kemudiannya melanggar sebuah lagi kereta jenis Perodua Axia yang diparkir di hadapannya sekali gus merempuh lapan pelanggan yang sedang makan serta dua pejalan kaki di lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Menurutnya, akibat kejadian itu, 11 individu termasuk pemandu Lexus 2.5 mengalami kecederaan.
"Pemandu Lexus 2.5, lapan pelanggan restoran dan dua pejalan kaki yang cedera menerima rawatan di Hospital Besar Kuala Lumpur," katanya.
Beliau berkata, saringan awal kandungan alkohol dijalankan mendapati had kandungan alkohol di dalam badan pemandu Honda HR-V melebihi had yang ditetapkan.
"Suspek kemudian ditahan dan direman untuk siasatan lanjut.
"Kes diklasifiasikan di bawah Seksyen 44(1A) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan ataupun maklumat boleh menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun H.S Lee di talian 03-2071 9999 atau Hotline JSPT Kuala Lumpur di talian 03-20260267/69 atau mana- mana Balai Polis berhampiran.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!