Urusan pengambilan kakitangan agensi dipantau audit perjawatan

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) memberi jaminan untuk melaksanakan pemantauan berterusan menerusi audit perjawatan agar urusan pengambilan dapat dilaksanakan dengan segera bagi mengisi jawatan-jawatan yang telah diluluskan oleh agensi pusat.

Menurut JPA, pihaknya sentiasa komited bersama kementerian, jabatan, atau agensi merentasi pelbagai sektor perkhidmatan dalam memantapkan pengurusan sumber manusia sektor awam bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kerajaan sentiasa responsif kepada rakyat.

"Pengambilan khas Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) merupakan salah satu contoh pendekatan segera yang responsif terhadap keperluan rakyat oleh kedua-dua agensi bagi memastikan ia diselesaikan dengan jayanya.

"Pada Jun 2021 JPA telah meluluskan permohonan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi urusan pengambilan khas sebanyak 18,702 PPP secara one-off.

"Kelulusan segera yang diberikan oleh JPA kepada KPM ini adalah untuk membolehkan pengambilan dibuat bagi menangani kekurangan guru di sekolah rendah dan sekolah menengah khususnya dalam mata pelajaran tertentu," menurut JPA dalam satu kenyataan pada Isnin.

Dalam kenyataan sama JPA menambah, pada Disember 2021 JPA telah meluluskan permohonan kelonggaran syarat pukal skim perkhidmatan untuk pelantikan secara kontrak (contract of service) bagi 4,266 calon guru kontrak di bawah urusan pengambilan 18,702 PPP.

"Pelaksanaan segera ini menunjukkan komitmen kerajaan dalam meningkatkan kecekapan sistem penyampaian menerusi pengisian jawatan secara optimum," katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, mekanisme penempatan dan latihan yang fleksibel serta mempunyai nilai tambah menerusi penggunaan teknologi dapat membantu kecekapan pengisian kekosongan 11,111 perjawatan dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Artikel Berkaitan:

"Perundingan pengoptimuman sumber manusia yang fokus kepada landskap baharu organisasi awam dan perkhidmatan awam kalis masa hadapan juga akan sentiasa dilaksanakan dari semasa ke semasa sejajar dengan keperluan dan kemampuan kewangan negara.

"Usaha dan perancangan ini dilihat dapat menyegarkan semula anggota perkhidmatan awam dan bergerak bersama ke hadapan bagi mencapai Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) serta mendukung aspirasi Keluarga Malaysia," kata kenyataan itu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!