K-KOMM lantik 30,000 Duta Komuniti bantu fasa endemik
PASIR MAS - Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) akan melantik kira-kira 30,000 individu terdiri daripada Keluarga Malaysia; pimpinan masyarakat, badan bukan kerajaan (NGO) dan sukarelawan sebagai Duta Komuniti sebaik sahaja negara beralih ke fasa endemik bermula 1 April ini.
MenKOMM, Tan Sri Annuar Musa berkata, Duta Komuniti itu akan memainkan peranan memberikan peringatan mengenai pematuhan prosedur operasi standard (SOP) seperti penjarakan sosial, pemakaian pelitup muka yang betul dan sebagainya jika ada majlis di kawasan mereka.
"Peringatan itu akan diberikan dalam bentuk nasihat secara mesra dalam kalangan komuniti bukannya mendenda," katanya selepas menyampaikan sumbangan banjir di Kampung Serongga, Repek di sini, pada Isnin.
Seramai 150 mangsa banjir di kawasan berkenaan menerima sumbangan tersebut.
Menurutnya, Duta Komuniti yang dilantik itu akan diberikan watikah dan mereka bertanggungjawab dengan amanah tersebut.
Beliau berkata, sebagai permulaan majlis pelancaran itu akan berlangsung di Perlis pada 25 Mac ini.
Annuar berkata, program tersebut turut mendapat sokongan daripada beberapa kementerian seperti Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan; Kementerian Belia dan Sukan serta Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
"Model ini dipakai oleh banyak negara seperti Amerika Syarikat; Singapura dan sebagainya," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!