Ayam kurang sebab pengeluaran tak capai 62.9 juta ekor sebulan

Gambar hiasan (Gambar kecil: Ahmad)
Gambar hiasan (Gambar kecil: Ahmad)
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jumlah pengeluaran ayam dari ladang tempatan tidak mencapai purata keperluan mengakibatkan kekurangan bekalan ayam bagi tempoh tiga bulan tahun lalu.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I, Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, data yang dikeluarkan jabatan veterinar adalah 52 juta ekor pada Oktober, 51.4 juta (November) dan 61.1 juta (Disember).

“Purata keperluan ayam di Malaysia adalah 2.09 juta ayam sehari, atau 62.9 juta ayam sebulan.

“Walaupun pengeluaran ayam pada Disember mencatatkan 61.1 juta ekor, namun belum mencapai 62.9 juta ekor mengikut keperluan sebenar sekali gus mengakibatkan pengurangan bekalan dalam pasaran.

“Kekurangan ini dikesan berlaku apabila penternak tempatan mengurangkan pengeluaran bagi mengelak kerugian akibat peningkatan kos operasi, yang disumbangkan oleh peningkatan ketara harga dedak ayam,” katanya di Dewan Rakyat pada Isnin.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Ahmad Jazlan Yaakub (BN-Machang) yang bertanyakan punca kekurangan bekalan ayam sejak tiga bulan lalu, selain tindakan kerajaan melonjakkan semula bekalan dalam pasaran.

Mengulas lanjut Ahmad berkata, faktor kekurangan bekalan ayam itu antara lain kerana peningkatan permintaan ayam yang meningkat susulan pembukaan semula ekonomi negara, khususnya perhotelan dan katering pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Oktober tahun lalu.

Selain itu jelasnya, bencana banjir pada hujung tahun lalu turut menjejaskan industri ternakan serta pengurangan kemasukan anak ayam ketika musim hujan bagi mengelakkan penyakit berjangkit seperti sampar ayam.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu ketika menjawab soalan tambahan Ahmad Jazlan berkenaan status bekalan ayam menjelang Ramadan dan Aidilfitri, Ahmad memberi jaminan bekalan mencukupi selepas kerajaan membenarkan import ayam bulat dari negara luar negara, selain pemberian subsidi kepada penternak.

"Kerajaan ambil pendekatan membenarkan import ayam bulat sebanyak 10,000 tan metrik dari luar negara, namun setakat ini kita hanya berupaya mendapat 4,500 tan metrik sahaja.

"Kerajaan akan memberi subsidi berjumlah RM528 juta melibatkan 60 sen sekilogram bagi ayam hidup dan ayam bulat manakala lima sen bagi sebiji telur ayam tanpa mengira kategori," katanya.

Menjawab soalan tambahan Nor Azrina Surip (PH-Merbok) yang bertanya sama ada kementerian sedia menggunakan sisa makanan sebagai dedak ayam selaras hasil kajian Universiti Sains Malaysia (USM), Ahmad menjelaskan, sisa makanan tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan makanan ayam di ladang ternakan.

Katanya, kementerian kini memberi tumpuan untuk meningkatkan penghasilan dedak ayam berasaskan isi rung kelapa sawit (PKC), selain meningkatkan penanaman jagung bagi mengurangkan kebergantungan pada import dedak ayam.

"Kita telah mendapat satu penemuan baharu tentang PKC yang boleh keluarkan sendiri hasil pemprosesan kelapa sawit.

"PKC ini memang tersedia dan kita dapati ia mengandungi keperluan untuk makanan ternakan," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!